Friday 11 September 2009

Isa Samad Tak Layak Ke Calon Bagan Pinang??

Tan Sri Muhyiddin Yassin meminta UMNO Negeri Sembilan menyenaraikan beberapa nama untuk dipertimbangkan sebagai calon Barisan Nasional (BN) bagi pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.

Timbalan Perdana Menteri berkata, langkah itu penting untuk membolehkan pucuk pimpinan parti membuat penilaian dengan lebih objektif. "Setakat ini saya belum terima apa-apa lagi, jadi saya tidak boleh andaikan nama dan siapa yang hendak dikemukakan (sebagai calon). "Kebiasaannya, kita sebagai pimpinan tertinggi BN, saya harap beberapa nama dihantar, bukan saja dalam kes Bagan Pinang tetapi sudah menjadi kelazimannya begitu," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Sosial Negara Ke-6 di sini hari ini.

Muhyiddin mengulas laporan yang menyebut hanya nama bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Tan Sri Mohd. Isa Samad dikemukakan oleh UMNO Bahagian Teluk Kemang bagi dipilih sebagai calon BN pada pilihan raya kecil Bagan Pinang kelak.

Sebelum ini, Mohd. Isa yang juga bekas Naib Presiden UMNO dan Ketua Bahagian UMNO Teluk Kemang disebut-sebut dipilih mewakili BN dalam pilihan raya kecil itu kerana mempunyai ramai saudara mara di Bagan Pinang.

Sementara itu ditanya mengenai kemelut politik di Terengganu, Muhyiddin berkata, UMNO tidak mahu melihat masalah tersebut berlarutan sehingga berbulan-bulan lagi. Ini kerana katanya, sehingga sekarang, kemelut itu telah berlanjutan selepas Pilihan Raya Umum Ke-12 pada Mac tahun lalu.

Justeru katanya, semua pihak yang terlibat perlu memberikan perhatian agar penyelesaian muktamad dapat dicapai pada kadar segera. ''Kita akui ada masalah, ia perlu diselesaikan dan saya sendiri akan mengendalikannya.

''Memandangkan sekarang bulan Ramadan dan selepas ini persiapan hari raya, jadi mungkin pihak terbabit tidak mempunyai mood (untuk cari penyelesaian)," katanya.

Kata beliau, pucuk pimpinan parti tidak mahu masalah itu terus berlarutan kerana kerajaan perlu memberikan fokus kepada pembangunan negeri.

''Kita perlu elak isu yang timbul itu menjejaskan kelicinan pentadbiran kerajaan. ''Kita berikan fokus bagi memenuhi mandat rakyat, kita serius nak lihat semua pihak terlibat mengambil perhatian tentang masalah ini kerana kedudukan UMNO cukup penting di Terengganu," katanya.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP