Thursday 24 September 2009

Nizar: Pendedahan Malaysiatoday keatas projek PKFZ demi rakyat

Dokumen yang didedahkan itu menunjukkan apa yang didakwa sebagai memorandum dari Menteri Kewangan supaya memberikan kelulusan secara retrospektif berhubung dengan peningkatan kos projek Zon Bebas Pelabuhan Kelang (PKFZ) dari RM1.088 bilion kepada RM4,632,732,000.00.

Menteri Kewangan DS Najib perlu memberi penjelasan kelulusan retrospektif tersebut kepada rakyat demi ketelusan pentadbiran kewangan negara. DS Najib juga perlu memberi penjelasan bagaimanakah menteri pengangkutan memberi kelulusan menerbitkan bon sebagai jaminan terhadap kos yang digunakan.

Mengikut peraturan, surat jaminan sedemikian perlu mendapat kelulusan Jemaah Menteri terlebih dahulu dan surat tersebut hanya boleh dikeluarkan oleh Kementerian Kewangan sahaja.

Nizar juga menuntut kerajaan menjelaskan adakah benar keseluruhan projek PKFZ dilaksanakan hanya dengan kelulusan dasar Perdana Menteri sahaja tanpa mematuhi prosedur yang sepatutnya?

Nizar juga mempersoalkan, mengapa kelulusan retrospektif yang dicadangkan oleh Menteri Kewangan itu diluluskan jika benar projek tersebut setelah dilaksanakan didapati tidak berdaya maju dan kos projek telah meningkat kepada lebih RM4.6 bilion.

"Jika dokumen yang didedahkan oleh MT itu adalah dokumen tulen kerajaan, rakyat kini boleh melihat dengan jelas mengapa Najib dan kabinetnya menubuhkan pasukan petugas khas serta-merta bagi menyediakan laporan berkaitan isu PKFZ.

"Saya telah nyatakan sebelum ini bahawa penubuhan pasukan itu sebenarnya bermotif politik iaitu untuk melindungi pemimpin-pemimpin Umno dan Barisan Nasional dari disiasat atas dakwaan salah guna kuasa dan penyelewengan yang berlaku dalam skandal PKFZ," kata Nizar.

"Dan, sebab itulah juga Najib dan kerajaan pimpinannya begitu takut untuk menubuhkan suruhanjaya di raja bagi menyiasat skandal PKFZ itu.

"Jika disiasat dan jika terdedah lebih banyak lagi dokumen dan hakikat yang disembunyikan dari pengetahuan rakyat, ia mungkin membuktikan lagi jenayah peringkat tertinggi dalam skandal PKFZ itu," katanya.

Sementara itu Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena menuntut sidang khas parlimen diadakan bagi membentangkan kertas putih menjelaskan keenganan kerajaan menubuhkan suruhanjaya di raja bagi menyiasat skandal PKFZ.

"Jika kerajaan enggan mengadakan sidang parlimen khas itu, kita yakin sidang parlimen yang dijangka bermula 19 Oktober ini hingga 15 Disember akan 'dibanjirkan' dengan isu PKFZ hinggalah Perdana Menteri, timbalannya dan semua menteri dalam kabinetnya kini yang terlibat memberikan kelulusan retrospektif kepada peningkatan kos projek PKFZ itu meletakkan jawatan," kata beliau.

Mahfuz juga mengulangi kenyataannya bahawa satu pasukan peguam PAS ditubuhkan bagi mengkaji peruntukan undang-undang untuk memastikan kerajaan menubuhkan suruhan jaya di raja bagi menyiasat skandal tersebut.

Projek PKFZ mencetuskan kontroversi apabila timbulnya pendedahan bahawa kos pembangunannya melambung daripada RM2.5 bilion kepada lebih RM4.6 bilion.

Siasatan awal keatas projek PKFZ mendapati ia terpaksa diselamatkan dengan pinjaman dari kerajaan. Selain itu juga, siasatan juga mengesahkan kerajaan melalui Lembaga Pelabuhan Klang (LPK) membeli 404 hektar tanah dari KDSB pada RM25 setiap kaki persegi walaupun harga sebenar dianggarkan RM10 sahaja setiap kaki persegi.

KDSB juga dilantik sebagai pemaju PKFZ. KDSB pula membeli tanah tersebut dari Koperasi Pembangunan Pulau Lumut Bhd (KPPLB) pada harga RM1.9 hingga RM2.9 sekaki persegi.

Pengerusi koperasi tersebut ketika transaksi itu ialah Adun Sementa, Datuk Abdul Rahman Palil. Beliau juga adalah ahli lembaga pengarah LPK dari 1997 sehingga 2003 Laporan audit yang dikeluarkan pada akhir Mei oleh PriceWaterhouseCoopers (PwC), syarikat yang dilantik LPK bagi tujuan itu, menyebut tentang pembabitan beberapa ahli politik dalam projek berkenaan, yang menurutnya, mungkin menimbulkan percanggahan kepentingan.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP