Wednesday 28 October 2009

Nizar News: Nik Aziz Betul-betul Anti UG

PAS bertegas tidak akan berlaku 'Kerajaan Perpaduan' sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh pihak media jika hanya melibatkan kerjasama antara PAS dan Umno.

Jika berlaku penglibatan PAS-Umno itu merupakan 'campuran' dan bukan 'perpaduan' sebagaimana gagasan idea yang pernah dilontarkan oleh Presiden PAS, Dato' Seri Abdul Hadi Awang.

Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Dato' Harun Taib berkata demikian pada sidang medianya di Pejabat Perhubungan PAS Negeri Terengganu, di Jalan Sultan Omar, dekat sini, semalam. "Kerajaan Perpaduan itu bukan hanya PAS dengan Umno sahaja, tidak timbul soal PAS-Umno. Semua parti-parti politik terlibat sama dengan Parti KeADILan Rakyat (KeADILan), DAP, MCA, MIC, Umno dan parti-parti di Sabah dan Serawak baru jadi 'perpaduan'.

"PAS dengan Umno tidak timbul langsung dalam soal 'Kerajaan Perpaduan' dan jika hanya dengan PAS-Umno tidak perlu kita (PAS) heboh-hebohkan. "Tidak berlaku 'perpaduan' jika hanya dengan Umno-PAS. Saya rasa tidak ada orang PAS yang berfikir begitu (gabung PAS-Umno) sahaja.

"Presiden PAS pun tidak bercakap begitu (PAS-Umno). Jika PAS bergabung dengan Umno pun tidak jadi Kerajaan Perpaduan lagi," jelasnya. Katanya, PAS sekali-kali tidak akan bergabung dengan Umno sahaja sebagaimana yang pernah dilalui oleh parti itu suatu ketika dahulu.

Menurutnya, kekeliruan yang timbul mungkin kefahaman terhadap konsep Kerajaan Perpaduan yang disama-ertikan dengan gabungan PAS-Umno. Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu menjelaskan hanya Presiden PAS (Ustaz Hadi) yang layak untuk menjelaskan kekeliruan serta kekusutan berkait dengan isu tersebut.

Namun begitu, katanya sebahagian dari konsep Kerajan Perpaduan itu adalah melibatkan semua parti-parti politik di negara ini dan kerajaan tanpa pembangkang. Menurutnya, kerajaan perpaduan tersebut mestilah dipandukan oleh Islam sebagaimana tema Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-55 iaitu 'Islam Memimpin Perubahan'.

"Jika semua orang (parti) menerima Islam Memimpin Perubahan itu. Sekarang ini yang mendepani kerja-kerja Islam dan perjuangan Islam ialah PAS. Jadi PAS yang akan memimpin 'Kerajaan Perpaduan'. "Jika semua orang setuju, DAP setuju, PKR setuju, Umno setuju, MCA setuju, MIC setuju, parti-parti di Sabah, Sarawak setuju dan semua setuju.

Jadilah Kerajaan Perpaduan yang berlandaskan kepada Islam," tegasnya. Maka, kata Dato' Harun kerajaan perpaduan tanpa pembangkang akan wujud serta tidak ada siapa lagi yang dianiaya dan dizalimi. Menurutnya, jika berlaku sebarang perubahan kerajaan, badan kehakiman, suruhanjaya pilihan raya (SPR), perundangan, dasar ekonomi dan dasar luar negara sekali pun mesti dipandu dengan Islam. Justeru itu, katanya isu kerajaan perpaduan merupakan satu saranan menarik pernah dikemukakan oleh PAS dan semua parti-parti lain serta rakyat Malaysia harus berfikir.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP