Wednesday 21 October 2009

Nizar-Ngo-Ngeh: Harapan Pada Jamaluddin-Osman: DUN Perak Bubar

PKR Perak tidak akan meletakkan harapan kepada dua wakil rakyatnya yang berpaling tadah kepada BN untuk kembali menyokong mereka semata-mata untuk membolehkan DUN negeri itu dibubarkan.

Walau timbul desas-desus menyatakan ADUN Behrang dan Changkat Jering telah berhubung dengan PKR negeri, parti itu tidak akan melayan apa-apa tuntutan mereka itu yang didakwa mementingkan "kepentingan sendiri", kata Ketua penerangan PKR Perak, Zulkifli Ibrahim.

Menurutnya lagi, Jamaluddin Mohd Radzi (Behrang) serta Mohd Osman Jailu (Changkat Jering) dipercayai masih merupakan wakil rakyat bebas.

"Mereka ada berhubung dengan PKR negeri, itu maklumat yang kita dapat tapi kita tak dapat sahkan," kata Zulkifli ketika dihubungi Malaysiakini semalam.

Zulkifli juga berkata PKR perlu menolak sekiranya benar Jamaluddin dan Mohd Osman telah berhubung dengan PKR negeri untuk kembali menyokong parti tersebut.

"Saya nampak ia lebih kepada kepentingan peribadi, lebih-lebih lagi Behrang," kata Zulkifli lagi.

Beliau turut mendakwa Jamaluddin telah membuat beberapa rundingan melibatkan jawatan dengan BN, setelah keluar daripada PKR.

Menurut Zukifli lagi, rundingan yang dibuat oleh Jamaluddin itu adalah untuk membolehkan masyarakat setempat terus menyokongnya walaupun telah keluar dari parti.

Perbicaraan kes rasuah

Zulkifli mendakwa, Jamaluddin telah meminta kepimpinan BN negeri meletakkan dua orang calon ketua kampung di Behrang yang diketahui sebagai penyokong bekas wakil rakyat PKR tersebut.

"Dia kata kalau Umno tidak letakkan orang dia jadi calon ketua kampung, dia ugut untuk tidak akan sokong usul bajet negeri," kata Zulkifli lagi yang menjelaskan mengenai insiden yang diketahuinya berlaku kira-kira dua bulan lalu.

"Sekarang dua orang ketua kampung itu memang orang (Jamaluddin)," katanya lagi.

Kata Zulkifli lagi, kes rasuah yang masih berjalan terhadap mereka akan tetap digunakan oleh BN untuk menekan kedua-duanya.

Jamaluddin dan Mohd Osman masing-masing telah didakwa di Mahkamah Sesyen Ipoh pada akhir Ogos tahun lalu atas tuduhan menerima rasuah masing-masing membabitkan RM100,000 dan RM5,000.

Zulkifli menegaskan, Pakatan Rakyat Perak kini harus menumpukan terhadap usaha jangka panjang dan bukannya bertindak semata-mata untuk memastikan DUN Perak dibubarkan.

Katanya lagi, walaupun Pakatan Rakyat di negeri itu sememangnya mahu pilihan raya peringkat negeri diadakan, tetapi tidak semestinya dengan mengembalikan sokongan Jamaluddin, Mohd Osman serta seorang lagi wakil rakyat DAP yang telah meninggalkan Pakatan Rakyat.

"Dalam masa sekarang, kita tidak boleh letakkan harapan kepada mereka... Kalau mereka masih memihak kepada kita, mereka boleh sokong kita. "Tapi saya tak rasa begitu sebab kalau mereka sokong, sudah tentu kerana sebab mereka berkepentingan," kata Zulkifli lagi.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP