Saturday 3 October 2009

Nizar-Pas-Anwar: Berkempen Saja Lah; Buat Apa Gaduh-gaduh

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof menasihati penyokong BN dan PAS supaya saling hormat menghormati sepanjang tempoh berkempen dalam pilihan raya kecil DUN Bagan Pinang - yang bermula selepas penamaan calon hari ini. Hari pengundian ditetapkan pada 11 Oktober depan.

"Masa kempen janganlah keluarkan perkataan yang sangat menyakitkan hati pihak yang lain....mereka kenal satu yang lain. Masa kempen itu juga jangan burukkan peribadi, memalukan seseorang, menjatuhkan maruah orang.....tak elok dan saya harap perkara itu tidak terus dibawa semasa hari pengundian.

"Saya harap pemimpin parti berkenaan, ingatkan pengikut masing-masing... jangan sampai hilang ingatan, jangan terlalu emosional. Kita mesti berfikir secara rasional," katanya kepada pemberita selepas penamaan calon pilihan raya kecil itu di Dewan Majlis Perbandaran Port Dickson, lapor Bernama

Dalam pilihan raya kecil itu, calon BN Tan Sri Mohd Isa Samad, berdepan calon PAS, Zulkefly Mohamad Omar.

Kerusi DUN Bagan Pinang kosong selepas penyandangnya Azman Mohammad Noor, yang mewakili BN, meninggal dunia pada 4 September lepas.

Pada pilihan raya umum 2008, Azman menewaskan calon PAS Ramli Ismail dengan majoriti 2,333 undi.

Sejumlah 13,664 pemilih berdaftar, yang terdiri daripada 9,060 pemilih biasa dan 4,604 pemilih pos, layak mengundi pada pilihan raya kecil ini.

Abdul Aziz juga gembira kerana proses penamaan calon pilihan raya kecil itu berjalan dengan baik.

Katanya penyokong parti yang bertanding diletakkan di dua kawasan berasingan dan berjauhan antara satu dengan lain mengikut laluan berbeza.

"Cuma sebelum mereka mula berhimpun pagi tadi, hujan lebat menyebabkan ramai mereka yang dalam keadaan basah kuyup. Saya dimaklumkan penyokong BN sebanyak 4,000 manakala 5,000 PAS," katanya.Beliau berkata SPR menerima tiga bantahan iaitu dua bantahan daripada PAS berhubung pekerjaan Mohd Isa dan saksi calon BN tidak berdaftar sebagai pemilih manakala bantahan BN terhadap calon PAS pula adalah kerana ada kes mahkamah.

Bagaimanapun, katanya setelah disemak, ketiga-tiga bantahan itu ditolak dan kedua-dua calon daripada BN dan PAS sah bertanding.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP