Tuesday 13 October 2009

Nizar-Pas-Anwar: Pasang Telinga Lah Apa Najib-Umno Kata

Kemenangan Tan Sri Isa Samad pada pilihan raya kecil Bagan Pinang semalam pastinya menjadi antara topik hangat anggota perwakilan ke perhimpunan agung Umno 2009 yang bermula hari ini.

Kejayaan besar itu memang diharapkan untuk meniup semangat lebih 2,500 anggota perwakilan untuk mendokong agenda perubahan yang dijanjikan pemimpin.

Tahun ini mencatat satu sejarah parti kerana dua kali perhimpunan agungnnya diadakan dalam tempoh setahun - disebabkan perhimpunan agung bagi 2008 hanya dapat dilangsungkan pada Mac lalu.

Perhimpunan esok juga merupakan pertama kali satu perhimpunan khas diselitkan semasa perhimpunan agung berlangsung.

Perhimpunan agung khas Khamis ini bertujuan meminda perlembagaan parti, yang bakal menyaksikan antara lain, pemilihan Umno yang dianggap lebih demokratik.

Ia adalah langkah susulan daripada cadangan yang dibuat oleh Datuk Seri Najib Razak semasa berucap menerima jawatan presiden Umno daripada Tun Abdullah Ahmad Badawi pada perhimpunan agung terdahulu, yang mahu lebih ramai anggota Umno terlibat dalam pemilihan parti.

Naib Presiden Datuk Hishammuddin Hussein, selaku pengerusi Jawatankuasa Induk Pindaan Perlembagaan Umno, mengesahkan antara cadangan pindaan yang bakal dibentang ialah pemansuhan sistem kuota pencalonan.

Amalan itu yang diguna pakai sejak dua dekad dipercayai antara faktor yang menyemarakkan gejala rasuah politik dalam parti.

Hishammuddin juga membayangkan pemilihan pucuk pimpinan tertinggi akan diadakan pada peringkat bahagian sekali gus membabitkan perwakilan dari cawangan.

Pembentangan cadangan pindaan akan dilakukan selepas ucapan dasar presiden dan perwakilan diberi masa sehingga lewat petang untuk membuat keputusan mengenainya.

Sekalipun tempoh itu dilihat agak suntuk bagi perwakilan mencapai kesepakatan, pemerhati politik yakin ia akan diterima memandangkan mesyuarat peringkat bahagian menunjukkan sebahagian besar telahpun bersetuju.

Tempoh perhimpunan agung kali ini lebih singkat daripada biasa iaitu hanya empat hari berbanding lima sebelum ini.

Agendanya juga ringkas dan padat iaitu hanya usul ucapan dasar presiden akan dibahas berbanding kelaziman iaitu usul ekonomi dan usul pendidikan dan agama juga dibentang.

Setiausaha kerja Umno Datuk Abdul Rauf Yusoh berkata anggota perwakilan boleh menyentuh isu-isu berkaitan ekonomi, pendidikan dan agama ketika membahaskan usul ucapan presiden, yang akan diadakan pada hari terakhir perhimpunan.

Selain pindaan perlembagaan, fokus perhimpunan kali ini ialah ucapan dasar presiden yang pertama oleh Najib.

Menurut pemerhati, ia bukan sahaja dinantikan oleh anggota Umno dan BN, malah masyarakat umum khususnya berhubung gagasan 1Malaysia yang beliau ilhamkan. BERNAMA

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP