Monday 23 November 2009

Hanya Seminggu Selesai Krisis MCA: Muhyiddin

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memberikan dirinya tempoh seminggu untuk menyelesaikan krisis kepimpinan dalam MCA.

Menurut beliau satu formula akan dirangka dalam tempoh tersebut untuk mendapatkan kata sepakat di kalangan pemimpin parti itu yang sedang bertelagah. Muhyiddin memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan pusat perkhidmatan global Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Cyberjaya hari ini.

Beliau membuat kenyataan tersebut seminggu sebelum kumpulan Datuk Seri Liow Tiong Lai bercadang mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) Sabtu depan.

Mereka hanya bersetuju untuk membatalkan EGM itu sekiranya Presiden Datuk Seri Ong Tee Keat dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Chua Soi lek, bersetuju mengadakan pemilihan baru parti bulan depan.

Walaupun mengakui bahawa pemilihan baru mungkin dapat menyelesaikan kemelut sekirang, tetapi Dr Chua mahu ia diadakan Mac tahun depan manakala Ong masih kabur mengenainya. Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengadakan pertemuan secara berasingan dengan pemimpin-pemimpin utama MCA yang berkrisis.

Dalam pertemuan tersebut, Najib dilaporkan berkata beliau telah mencadangkan formula bagi menyelesaikan krisis MCA.

Berikutan itu, Najib telah meminta Muhyiddin yang juga timbalan pengerusi BN, untuk meneruskan perbincangan dengan pemimpin MCA berdasarkan formula yang beliau berikan itu. Sementara itu, Bernama memetik Muhyiddin berkata, beberapa siri perjumpaan pada dasarnya telah dilakukan dengan beberapa pemimpin parti itu untuk berbincang secara lebih terperinci mengenai krisis berkenaan.

"Tugas ini bukan suatu yang mudah kerana ia melibatkan kepentingan parti dan kepentingan negara," katanya.

Katanya beliau telah diberi mandat oleh perdana menteri untuk menangani masalah dengan melaksanakan langkah-langkah pro-aktif sesegera mungkin sebelum krisis itu berlarutan dan menjadi lebih buruk."Saya telah laksanakan beberapa siri perbincangan, bukan dengan semua, tetapi beberapa individu tertentu dan saya akan teruskan, kalau boleh sebelum perdana menteri pulang.

"Pada masa yang sama, saya akan turut menerima sebarang cadangan dari pemimpin komuniti Cina yang turut melahirkan pendapat dan perhatian mereka berhubung krisis itu," katanya.

Kemelut ini jelas beliau, harus ditangani sebaik mungkin hingga membawa kepada kewujudan situasi 'menang-menang' antara pihak terlibat.

Mengenai langkah yang akan diambil, Muhyiddin berkata, beliau tidak berhasrat untuk mendedahkan sebarang syarat atau strategi tertentu sehingga formula penyelesaian berjaya
dihasilkan.

"Pada peringkat awal ini, kita tidak akan tentukan apa perkara. Saya fikir yang penting mereka berpendapat bahawa ini adalah satu langkah untuk menyelesaikan masalah ini dan saya fikir, ia sudah menjadi rahsia awam, bukan rahsia parti sahaja, semua orang dah tahu," tambahnya.

"Yang penting saya di peringkat ini tidak akan tentukan apa syarat-syaratnya, yang pasti bila dah sampai pada satu peringkat ada persetujuan pada soal prinsip, maka kita mahu mereka pegang pada keputusan itu atas tujuan nak cari jalan penyelesaian," katanya.

Muhyiddin berkata perkara itu tidak akan diumumkan kepada orang awam termasuk media selagi matlamatnya masih belum tercapai.

"Pada peringkat ini okey sebab ia masih di permulaan tapi langkah selanjutnya akan diberitahu apabila semua pihak telah bersepakat untuk menentukan langkah yang perlu dibuat," katanya.

Ditanya mengenai saranan Najib agar pemilihan baru dibuat oleh MCA untuk menyelesaikan konflik itu, katanya itu adalah pandangan perdana menteri yang sedang beliau usahakan.

"Saya diberikan arahan untuk gunakan pendekatan ini, tapi bagaimana nak dapatkan kata sepakat pemimpin-pemimpin MCA akan saya usahakan. Masa agak terbatas dan seberapa cepat lebih baik kerana kalau ia berlarutan untuk beberapa bulan lagi, keadaan akan menjadi tambah kalut sekaligus menjejaskan MCA dan BN sendiri," katanya.

Muhyiddin berkata, adalah tidak adil untuk beliau menetapkan sebarang keputusan bagi pihak pemimpin MCA memandangkan adalah menjadi hak mereka untuk menetapkan langkah terbaik bagi parti itu.

"Saya fikir biar saya berhubung dan berbincang dengan mereka. Tak adil saya buat pengumuman kerana ini bukan hak saya, tapi hak mereka. Ini melibatkan kepentingan bersama semua pihak, justeru ia perlu dicapai bukan atas desakan, tapi kata sepakat," katanya.

Sementara itu, ketika mengulas laporan akhbar bahawa exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa akan meletak jawatan, beliau berkata itu adalah bukti jelas bahawa krisis kepimpinan yang melanda parti pembangkang termasuk PAS semakin tenat.

Di KOTA BHARU hari ini, Husam yang juga Timbalan Pesuruhjaya Dua PAS Kelantan menafikan laporan bahawa beliau akan meletakkan jawatan dalam parti dan kerajaan.

Malah katanya beliau akan meneruskan perjuangannya kepada parti dan negeri.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP