Friday 6 November 2009

Inkues Kematian Teoh Beng Hock: DNA Tan, Lee Tidak Sepadan Kesan Darah Pada Teoh

SHAH ALAM: Ujian DNA ke atas ahli Majlis Perbandaran Kajang, Tan Boon Hwa dan juruteknik Lee Wye Wing menunjukkan sampel mereka tidak sepadan dengan kesan darah pada kot dan tali pinggang Teoh Beng Hock, yang ditemui mati di Plaza Masalam di sini, 16 Julai lalu.

Ia diumumkan oleh peguam keluarga mendiang, Gobind Singh pagi tadi ketika inkues disambung hari ini. "Kedua-dua mereka telah beri sampel DNA, setelah dianalisa keputusan tersebut tidak sama dengan milik Teoh," katanya.

Tan dan Lee memberikan sampel DNA setelah beberapa kali enggan melakukannya.

Pada awalnya Tan dan Lee dilaporkan enggan memberikan sampel untuk ujian DNA.

Pada hari pertama inkues, peguam bela dan peguam cara, Tan Hock Chuan yang mewakili kerajaan berkata, satu sampel DNA milik seorang lelaki yang tidak dikenali telah ditemui di bahagian belakang kot dan tali pinggang Teoh.

Katanya, laporan DNA pertama daripada spesimen yang diambil di bahagian luar kot yang dipakai Teoh mendapati terdapat campuran DNA daripada dua individu iaitu yang menyamai spesimen darah Teoh dan seorang lelaki yang tidak diketahui.

Sementara itu, satu lagi profil DNA daripada spesimen yang diambil daripada bahagian tali pinggang Teoh yang terkoyak mendapati terdapat campuran DNA yang menyamai spesimen darah Teoh dan sekurang-kurangnya seorang lagi lelaki yang tidak diketahui.

Seramai 102 orang telah diuji bagi menentukan sama ada DNA mereka menyamai DNA lelaki yang tidak diketahui itu. "Saya diberitahu oleh ahli kimia bahawa keputusan ujian 90 orang telah pun siap dan ujian bagi 12 lagi individu lelaki akan dijalankan. "Saya juga diberitahu oleh pegawai penyiasat, dua orang enggan memberikan spesimen contoh DNA mereka," katanya.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP