Sunday 8 November 2009

Inkues Kematian Teoh Beng Hock: Dr Pornthip Hadir Proses Menggali Mayat Teoh

BANGKOK: Pakar forensik Thailand Dr Pornthip Rojanasunand hari ini berkata bahawa beliau akan hadir pada proses bedah siasat kedua ke atas mayat mendiang Teoh Beng Hock walaupun dilarang mengendalikan autopsi itu secara sendiri.

Katanya beliau dimaklumkan oleh peguam keluarga mendiang dan seorang pegawai kerajaan negeri Selangor mengenai keputusan Koroner Azmil Muntapha Abas membenarkan mayat mendiang digali semula bagi membolehkan bedah siasat kedua dijalankan.

"Saya diberitahu proses bedah siasat kemungkinan akan dijalankan Sabtu depan tetapi saya hanya sebagai pemerhati kerana implikasi undang-undang," katanya kepada Bernama di sini. Katanya beliau sedar hakikat bahawa beliau tidak dibenarkan di bawah undang-undang untuk mengambil bahagian secara aktif dalam proses bedah siasat.

Menurutnya beliau telah membangkitkan perkara itu Julai lepas apabila kerajaan negeri Selangor menghubunginya untuk menjalankan bedah siasat ke atas mayat mendiang Teoh. "Saya tidak pergi ketika itu kerana keluarga mendiang tidak membenarkan saya menjalankan bedah siasat itu. Tetapi saya dijemput memberi keterangan dalam inkues," kata Dr Pornthip, yang juga Ketua Pengarah Pusat Institut Sains Forensik, Kementerian Kehakiman Thailand.

Ditanya sama ada beliau dapat membuat kesimpulan punca kematian Teoh walaupun tidak dibenarkan mengendalikan proses bedah siasat, Dr Pornthip berkata ia bergantung kepada tahap pereputan mayat berkenaan. "Bagi diri saya, saya hanya membantu...Saya tahu batas saya," katanya.

Sebelum ini, semasa prosiding inkues itu, Dr Pornthip mendakwa ada 80 peratus kemungkinan bahawa Teoh mati dicekik dan didera. Semalam, Mahkamah Koroner di Shah Alam, Selangor, membenarkan permohonan keluarga Teoh untuk menggali mayat mendiang bagi menentukan punca sebenar kematian Teoh pada 16 Julai lepas.

Teoh, yang merupakan pembantu politik kepada exco kerajaan Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati di tingkat lima Plaza Mazalam, Shah Alam, selepas disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor di tingkat 14 bangunan yang sama. BERNAMA

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP