Wednesday 4 November 2009

Nijar: Penahanan Dr Asri Bukan Semberono

Penahanan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kelmarin bukan dibuat secara semberono atau mengikut telunjuk mana-mana pihak.

Sebaliknya Pengarah JAIS, Mohamed Khusrin Munawi menegaskan, tindakan itu diambil selepas Mohd. Asri berulang kali melanggar peraturan berkaitan aktiviti memberi ceramah agama di negeri ini.

Menurutnya, Mohd. Asri tahu tentang peraturan tersebut tetapi terus melakukan kesalahan itu. “JAIS pernah menghantar pekeliling kepada semua mufti negeri termasuk Mohd. Asri yang memberitahu tentang keperluan mendapat kebenaran dan pentauliahan jabatan itu untuk membolehkan mereka menyampaikan kuliah di Selangor.

Menurutnya, Mohd. Asri kerap kali memberi kuliah agama tanpa tauliah termasuk di Hulu Klang yang dibuat hampir setiap bulan begitu juga di Masjid Seksyen 14, Petaling Jaya. “Ini bermakna beliau tidak menghormati peraturan yang telah ditetapkan di negeri ini,” ujarnya.

Katanya, penahanan terhadap Mohd. Asri pada malam itu dibuat selepas mesyuarat JAIS dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dilakukan.

Dalam pada itu, Mohamed Khusrin memberitahu, keputusan sama ada bekas Mufti Perlis tersebut bakal didakwa atau sebaliknya hanya akan diputuskan oleh Bahagian Pendakwaan JAIS sebelum penghujung bulan ini.

Katanya, pada masa ini pihaknya sedang menyiapkan kertas siasatan kes Mohd. Asri yang ditahan mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Islam Selangor. “Sebaik sahaja kertas siasatan kes Mohd. Asri siap, kita akan serahkan kepada Bahagian Pendakwaan. Selepas itu terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan,” jelasnya.

Mohd. Asri ditahan oleh pasukan penguat kuasa JAIS malam Isnin kerana menyampaikan kuliah agama tanpa tauliah di sebuah banglo di Taman Sri Ukay, Hulu Klang.

Turut hadir pada majlis kuliah itu ialah Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Klang, Saari Sungib.

Ditanya mengapa Mohd. Asri tidak didakwa semalam, Mohamed Khusrin berkata, bekas mufti itu ditahan bukan untuk didakwa tetapi bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadapnya kerana menyampaikan kuliah tanpa tauliah.

“Macam polis menangkap penjenayah, kena dapat perintah reman dulu dan bila sudah siap kertas siasatan baru pendakwaan dibuat. “Cuma bezanya kita tidak dapatkan waran tahanan terhadap Mohd. Asri kerana kita telah bebaskan dia dengan bon jaminan JAIS,” jelasnya.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP