Monday 9 November 2009

Nizar: Hassan Ali Hanya Menegak Yang Benar: Jadi Mangsa Parti Sendiri

Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hassan Ali, berdepan dengan tindakan disiplin parti sehingga boleh digugurkan daripada jawatan yang disandangnya kini sekiranya gagal ‘membela’ diri dalam tempoh ditetapkan.

Pengerusi Jawatankuasa Disiplin Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man, berkata selain Hassan ada juga beberapa pemimpin lain turut disiasat jawatankuasa itu atas beberapa tuduhan.

“Kita bebas mengenakan tindakan, sama ada menggantung keahlian, gugur keahlian atau kita gugurkan jawatan dia. Itu antara peraturan dalam parti dan kita akan bertindak mengikut saluran parti.

“Jawatankuasa disiplin akan menegakkan keadilan bagi setiap ahli. Kita bebas dan akan meneliti dokumen, tindakan sudah mula dilakukan dan saya ingin tegaskan bukan Hassan saja malah ada beberapa orang lagi,” katanya ketika dihubungi, semalam.

Beliau berkata, Pesuruhjaya Pas Selangor itu perlu membela diri daripada tuduhan yang dilemparkan terhadapnya dengan mengemukakan bukti dalam masa 14 hari daripada tarikh surat tunjuk sebab diterima.

Jawatankuasa itu yang diketuai Tuan Ibrahim sebelum ini mengenal pasti beberapa pihak, termasuk Hassan bagi `membela' diri berhubung tuduhan yang dibangkitkan Mursyidul Amnya, Datuk Nik Aziz Nik Mat.

Ia ekoran dakwaan yang mengaitkan Hassan dan beberapa pemimpin parti itu dikatakan menyokong cadangan penubuhan kerajaan perpaduan dengan Umno selain berusaha membawa Pas menyertai Umno.

Kelmarin, wakil Selangor, Salihin Mohyi, yang berucap pada sesi membahas ucapan Presiden parti pada Seminar Memperkasakan Parti itu turut mendesak Pesuruhjaya Pas negeri itu menjawab tuduhan dilemparkan terhadapnya secara terbuka.

Ditanya apakah terdapat kes yang boleh dikaitkan dengan Hassan, beliau berkata terdapat pertuduhan terhadap Exco kerajaan negeri Selangor itu, bagaimanapun ia hanya di peringkat pertuduhan saja.

“Jadi kita beri masa kepada beliau untuk buktikan bahawa apa yang dituduh itu tidak betul ataupun betul. Lepas itu kita akan teliti dan beliau akan dipanggil sekiranya ada kes,” katanya.

Sementara itu, Tuan Ibrahim berkata Pas akan menjalankan satu kajian bagi mencari kebenaran terhadap hasil kajian yang dilakukan Pensyarah Pengajian Media Universiti Malaya (UM), Prof Madya Dr Abu Hassan Hasbullah.

Beliau berkata, Pas perlu melakukan kajian semula terhadap hasil kajian itu yang mendakwa parti pembangkang terbabit kehilangan sokongan pengundi muda, selain mengenal pasti punca terbabit.

“Kita terima kajian beliau (Abu Hassan), namun kita juga akan melakukan kajian bagi mencari kebenaran terhadap dakwaan itu kerana kajian yang dikemukakannya tidak memberi tumpuan terhadap punca.

“Jadi kajian akan dibuat bagi mengenal pasti faktornya dan akan disusuli dengan pelan tindakan. Pas memberi perhatian serius terhadap perkara ini,” katanya.

Abu Hassan mendedahkan hasil kajiannya bertajuk ‘Kajian Mikro Kepercayaan Politik di Malaysia Dari Persepsi Pola Kepercayaan Untuk Pilihan Raya Umum (PRU) ke-13 mendapati sokongan pengundi muda kepada parti itu berpaling arah dengan mendadak dan 70 peratus golongan muda yang percaya pentadbiran Pas sangat baik ketika pilihan raya umum lalu, kini beralih pantas.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP