Thursday 5 November 2009

Nizar: Masa Depan Pengarah JAIS Suram

Sekumpulan ahli parlimen Pakatan Rakyat merancang menyatakan bantahan berhubung tindakan pengarah Jabatan Agam Islam Selangor (Jais) dalam satu petisyen kepada Sultan Selangor.

Ahli parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berkata kedudukan dan fungsi Datuk Mohammed Khusrin Munawi "jelas menjejaskan kedudukan baginda" selaku penaung perkembangan Islam.

Kandungan petisyen itu dan tarikh ia ingin dihantar tidak disebut tetapi difahamkan ia akan diserahkan "dalam tempoh terdekat."

Pemimpin PKR itu mengulas kenyataan pegawai tinggi itu dan operasi penangkapan Jais terhadap bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin hujung minggu lalu atas kesalahan kuliah tanpa tauliah.

Isnin lalu, Mohammed Khusrin juga mendakwa terdapat wakil rakyat yang cuba menghalang operasi pegawai penguatkuasa Jais sehingga mendorong jabatan itu meminta bantuan lebih ramai anggota polis.

Walaupun beliau tidak menyebut sebarang nama wakil rakyat, Zuraida dan seorang wakil rakyat PAS Saari Sungib dilaporkan berada di tempat kejadian di sebuah banglo di Hulu Kelang.

Zuraida dalam kenyataannya hari ini bagaimanapun menafikan beliau dan Saari menghalang tugas pegawai penguatkuasa Jais sewaktu cuba menahan Dr Mohd Asri.

Ketua Wanita PKR menjelaskan, beliau dan ADUN Hulu Kelang "cuba menenangkan keadaan kerana para jemaah (yang mendengar kuliah) ketika itu terkejut dengan serbuan yang dilakukan dengan kasar dan biadab" oleh seorang pegawai penguatkuasa jabatan agama itu.

"Untuk itu, saya menggesa pengarah Jais yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan ini agar menarik balik dakwaan beliau," katanya.

Mengulas isu tauliah, Zuraida mempertikaikan tindakan Jais tersebut kerana melarang, termasuk kepada ahli akademik Universiti Islam Antarabangsa (UIA), menyampaikan kuliah agama.

"Di sini saya bertegas mendesak pengarah Jais menjelaskan apakah garis panduan yang diguna pakai oleh pihaknya untuk melayakkan seseorang itu boleh ditauliahkan untuk memberi kuliah di Selangor," katanya.

"Sehingga kini terdapat lebih kurang tujuh orang Ustaz yang di antaranya pensyarah UIA telah gagal mendapat tauliah untuk mengajar di Selangor tanpa alasan yang kukuh dan bertulis."

Dengan adanya garis panduan, tambah Zuraida lagi, Jais akan dapat membendung amalan "mengikut selera" pengarah Jais dan "memberi keadilan kepada cendekiawan seperti Dr Mohd Asri untuk menyampaikan ilmu."

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP