Wednesday 4 November 2009

Nizar News: Chan Kong Choy dan GM PKFZ: PAC Arah SPRM Siasat: Ada Unsur Pecah Amanah

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) mengesyorkan suapaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dan polis menyiasat bekas Menteri Pengangkutan Datuk Seri Chan Kong Choy dan bekas pengurus besar Lembaga Pelabuhan Klang Datuk Paduka O.C. Phang membabitkan pecah amanah berhubung projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

Kedua-dua mereka harus disiasat berhubung tiga surat sokongan yang dikeluarkan Chan dan tiga surat akujanji oleh Phang, mengikut laporan PAC berhubung PKFZ yang diedarkan di Dewan Rakyat pada hari Rabu.

"Jawatankuasa dimaklumkan oleh Peguam Negara bahawa tiga surat sokongan yang dikeluarkan oleh Datuk Seri Chan Kong Choy, (bekas) Menteri Pengangkutan dan ketiga-tiga surat akujanji yang dikeluarkan oleh Pengurus Besar LPK (Lembaga Pelabuhan Kelang) secara tersirat atau bersifat jaminan daripada kerajaan yang meletakkan tanggungan ke atas kerajaan untuk memastikan ada peruntukan yang membolehkan LPK memenuhi obligasinya di bawah Perjanjian Pembangunan.

"Oleh itu, siasatan rapi perlu dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia/Polis Diraja Malaysia terhadap perkara ini kerana ia dikeluarkan tanpa kelulusan daripada Kementerian Kewangan sepertimana yang dikehendaki di bawah Seksyen 14(1) Akta Tatacara Kewangan 1957," kata laporan itu.

Selain itu, tindakan Chan dan Phang juga boleh disabitkan dengan kesalahan jenayah pecah amanah di bawah Seksyen 409 yang dibaca bersama Seksyen 409B Kanun Keseksaan.

Seksyen 409 Kanun Keseksaan memperuntukkan hukuman minimum dua tahun maksimum 20 tahun, dan dengan sebat, dan boleh juga dikenakan hukuman denda jika sabit kesalahan.

Laporan PAC yang diketuai Datuk Seri Azmi Khalid juga berpendapat surat akujanji yang dikeluarkan oleh Phang adalah bertentangan dengan keputusan kerajaan kerana semasa meluluskan projek PKFZ, kerajaan telah memutuskan supaya ia dibiayai sendiri oleh LPK.

Sehubungan itu, Phang dan Kementerian Pengangkutan didapati gagal memaklumkan kabinet dengan awal mengenai ketidakupayaan LPK untuk membiayai sendiri projek itu walaupun perkara tersebut telah dibangkitkan dalam laporan-laporan Ketua Audit Negara Mengenai Penyata Kewangan LPK bagi tahun 2003, 2004, 2005, 2006 dan 2007.

Selain itu, mereka juga didapati gagal berunding dengan Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi bagi mendapatkan peruntukan bagi membiayai projek itu.

Pengurus besar LPK itu juga didapati telah melakukan "gambaran yang salah" apabila mengeluarkan surat akujanji kepada pemegang amanah PDS iaitu OSK Securities Berhad yang menyatakan bahawa LPK akan meminta kerajaan untuk meremit dana daripada peruntukan bajet ke "akaun rizab khas" atau "kod khas akaun" yang diuruskan oleh LPK memandangkan LPK tidak mendapat kelulusan daripada Kementerian Pengangkutan atau Kementerian Kewangan berhubung perkara itu.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP