Friday 20 November 2009

Nizar News: Kisah Benar Dibalik TIRAI BESI

Ketika dikepung polis, Paul (bukan nama sebenar) membonceng motosikal kawannya. Kawannya bolos, dia dicekup.

Di dalam bakul motosikal, polis menemui bahan yang disahkan kemudiannya sebagai heroin, seberat 500 gm, kesalahan berat yang boleh dihukum mati (gantung).

Apabila dia dibawa ke mahkamah dan mendengar tuduhan yang dibacakan, Paul menganggap tamat sudah riwayat hidupnya. Dia tidak dibenar jamin dan ditahan reman di Penjara Kajang, sementara menunggu perbicaraan.

Paul bernasib baik kerana dia bukan sahaja tidak sepi daripada sokongan moral dan kasih sayang ibu bapanya tetapi usianya ketika ditangkap ialah 17 tahun dan mengikut undang-undang, dia masih ditakrif kanak-kanak.

Apabila Paul dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada Oktober 2009 atas tuduhan yang lebih ringan, dia dibebaskan oleh hakim pada hari yang sama kerana dia sudah meringkuk di dalam penjara untuk tempoh masa yang sama.

Paul ditangkap pada 2004 pada usia 17 tahun dan bebas dari penjara, tiga hari sebelum hari jadinya yang ke-22 tahun.

SEMASA KANAK-KANAK

Ketika kecil, Paul bercita-cita menjadi anggota polis dan dia mempunyai sepasang gari mainan yang sering dibawanya semasa bermain dengan kawan-kawan.

Berbadan tinggi lampai, dia juga unggul dalam bidang sukan semasa di sekolah iaitu dalam acara larian 100 meter dan 200 meter. Paul yakin dia berkebolehan untuk menjadi pelari pecut yang baik jika bakatnya digilap meskipun dia sememangnya malas bersekolah.

Menurut Paul, 'masalah hidupnya' bermula apabila melangkah ke sekolah menengah dan mula merokok.

"Saya bau wangi rokok jadi teringin nak tahu bagaimana rasanya merokok. Saya mula merokok, tak boleh berhenti. Di sekolah tak boleh merokok, jadi saya mula ponteng dan melepak.

"Saya menjadi semakin malas pergi sekolah dan suka melepak, tak fikir masa depan. Saya hanya fikir untuk bersuka-suka sahaja," demikian pengakuan Paul dalam wawancara dengan Bernama baru-baru ini.

KISAH PONTENG DAN LEPAK

Rekod disiplin Paul menjadi lebih teruk apabila dia berada di tingkatan tiga. Masanya banyak disia-siakan dengan kumpulan lepaknya di kafe siber. Dari wang saku sekolah RM10, RM3 dibelanjakan di kafe siber, RM3 untuk makan sementara RM4 untuk membeli rokok.

Dia memberitahu penulis yang dia akan pergi ke sekolah seperti biasa tetapi hanya sampai pukul 3 petang sebelum dia menyelinap keluar dari pintu belakang kelas.

Tempat lepak pertamanya ialah di kedai makan yang berhampiran setelah menukar kemeja sekolah dengan kemeja-T yang sedia ada di dalam beg sekolah. Habis makan, dia dan kawan-kawan lepaknya akan ke kafe siber sehingga tamat waktu sekolah. Setelah menyarung balik kemeja sekolah, dia akan pulang ke rumah.

"Jika baju sekolah bersih sangat, saya buat kotor-kotor sikit, lepas tu balik ke rumah," jelas Paul dengan menambah di rumah, dia memang berkelakuan baik, 'pijak semut pun tak mati.'

Semasa di tingkatan tiga, pihak sekolah akhirnya menghantar surat kepada ibu bapa Paul mengenai rekod buruknya bermula dari tingkatan satu. Paul memberitahu bapanya kemudian, yang dia tidak mahu lagi bersekolah, sebaliknya dia berminat untuk masuk sekolah vokasional.

Paul bercerita, dia pernah lari dari rumah ketika di tingkatan dua dan bekerja menjual kemeja-T di Jalan Petaling.

"Saya tinggalkan rumah selama enam hingga tujuh bulan dan tinggal di rumah kawan. Pagi saya pergi kerja, tengah hari pergi sekolah. Bapa saya ada cari saya tapi saya selalu lari kalau nampak dia sehingga dia datang ke kelas pada satu hari. Dia duduk sebelah saya dan pujuk saya pulang.

"Bapa saya menangis, dia minta maaf pada saya kalau dia ada buat salah. Masa itu saya terasa juga, saya menangis dan hari itu, saya balik ke rumah," kata Paul, dengan menambah meskipun dia sudah berhenti sekolah, dia masih perlu mengambil peperiksaan PMR kerana dia sudah mendaftar dan membayar untuk peperiksaan itu.

"Saya hanya belajar seminggu sebelum peperiksaan. Bukan serius sangat belajar tapi saya suka Bahasa Malaysia, Sains dan Bahasa Inggeris. Bila guru besar serahkan keputusan peperiksaan, saya terperanjat, saya dapat 6C dan 1D. Guru Besar kata saya boleh jadi pandai kalau saya belajar bersungguh-sungguh," katanya.

KENA TANGKAP

Selepas berhenti sekolah, Paul terus dengan tabiat buruknya melepak dan menjadi 'pengikut' seorang yang dikatakannya 'kawan jahat'. Hidup bebasnya berakhir apabila dia ditangkap polis dan direman 14 hari sebelum dikenakan tuduhan mengedar dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Menurut Paul, tanpa segan-silu, dia menangis apabila melihat ibu bapanya di mahkamah. Dia merayu bapanya memohon ikat jamin kerana dia amat takut dihantar ke penjara.

Memandangkan tuduhan dikenakan ke atas Paul tidak boleh diikat jamin, dia terpaksa dibawa ke Penjara Kajang sementara menunggu perbicaraan.

"Saya hanya pernah tengok penjara dalam cerita Tamil. Dalam cerita itu, saya tengok keadaan di dalam penjara teruk. Saya juga tak pernah merasa begitu takut sehinggalah saya ditangkap.

"Polis kata saya akan digantung. Sampai di penjara pun saya diberitahu perkara yang sama. Setiap malam saya menangis. Saya menyesal, mengapa saya tidak dengar cakap ibu bapa saya dan menjadi anak yang baik," kata Paul sambil mengeluh.

HIDUP DALAM PENJARA

Menurut Paul, tempoh setahun setengah pertamanya dalam penjara berlalu tanpa sebarang aktiviti yang membina.

Dia berkongsi sel penjara dengan 16 orang lagi tahanan yang didakwa melakukan pelbagai kesalahan termasuk membunuh, merogol, menjual VCD haram dan mencuri. Tahanan paling muda berusia 15 tahun kerana dituduh mencuri motosikal.

Tahanan-tahanan ini hanya dibenar keluar dari sel untuk dua perkara sahaja iaitu bertemu dengan ahli keluarga setiap Ahad atau untuk rawatan perubatan.

"Pada awalnya, saya merasa putus asa, fikiran saya kosong dan saya banyak menangis kerana saya fikir saya akan mati di penjara. Ada juga tahanan yang baik hati dan beritahu saya jangan menangis, jangan putus asa. Kami banyak berkongsi kisah hidup kami.

"Selain kata-kata nasihat kawan satu sel, saya juga bernasib baik kerana ibu bapa saya sentiasa menyokong saya. Kali pertama mereka melawat saya, mereka menangis dan saya minta maaf. Mereka suruh saya tabahkan hati dan akan tolong saya carikan peguam," kata Paul.

Anak muda ini juga memberitahu dia banyak bersembahyang (Paul seorang Kristian) dan membaca novel yang dibawa oleh ibu bapanya. Novelis kesukaannya ialah Ramlee Awang Murshid yang terkenal dengan novel 'thriller'nya.

MENCARI DIRI

Kehidupan dalam penjara Paul yang membosankan bertukar apabila pihak Penjara mendapatkan bantuan Shelter, sebuah pertubuhan kebajikan berdaftar untuk mengadakan kelas motivasi untuk tahanan reman.

Kelas-kelas itu, yang dimulakan pada 2004 berterusan sehingga 2007. Shelter (www.shelterhome.org) diasaskan pada 1981 untuk membantu antaranya kanak-kanak yang didera, ditinggalkan atau diabai.

Menurut Paul, dia tidak berminat dengan program Shelter pada peringkat permulaan tetapi menyertai kelas tersebut sekadar mengisi masa.

"Apa yang membuka minda saya ialah kami diberitahu kami masih mempunyai peluang. Encik James Nayagam, Pengarah Eksekutif Shelter yang mengasaskan program ini minta kami jangan berputus asa," jelas Paul.

Tambahnya, selepas menghadiri beberapa kelas Shelter, dia mampu melihat ke dalam dirinya, dan merenung kembali segala kesalahan yang telah dilakukannya. Dia juga banyak berfikir tentang keluarganya terutama sekali ibunya yang masih datang melawatnya di penjara meskipun pada satu ketika dia sakit.

"Saya tanamkan tekad saya mesti berubah, saya mesti pilih jalan yang lurus," kata Paul bersungguh-sungguh. Dia juga berlatih bercakap ketika sesi terapi berkumpulan, bukan sahaja untuk berkongsi pengalaman tetapi juga untuk mengatasi perasaan gentar bercakap di hadapan khalayak ramai.

Paul mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2007 semasa masih di dalam penjara tetapi gagal. Namun dia tidak berputus asa dan mengikuti beberapa kelas, iaitu Kemahiran Asas IT dan Asas Grafik Foto.

"Saya merasa begitu bangga apabila menerima sijil Kemahiran Asas IT daripada Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Syed Hamid Albar. Kalaulah ibu bapa saya boleh melihat saya pada hari itu, sudah tentu mereka juga merasa bangga," kata Paul.

TANDA NOKTAH

Bercakap mengenai pembebasannya dari penjara, Paul berkata masih segar di ingatannya ketika dia berdiri di hadapan hakim. Dia yang biasanya keras hati menitiskan air mata tatkala hukuman dibacakan iaitu lima tahun penjara dari tarikh ditangkap.

"Tuan Hakim beritahu mereka yang datang ke mahkamah biasanya akan menangis tetapi tak semestinya dia menangis dia akan berubah. Perkara ini kena ingat. Hakim juga suruh saya fikirkan ibu bapa saya, mereka bersusah-payah untuk saya. Hakim juga baca laporan akhlak saya dan nasihatkan saya supaya jaga diri saya.

"Hakim juga ingatkan saya jangan ulangi perbuatan lama saya. Beliau kata memang susah nak dapat duit tapi jika dari mula kita susah, kemudian kita akan senang," kata Paul.

Perkara pertama yang Paul lakukan sebaik sahaja bertemu ibu bapanya selepas dibebaskan ialah memeluk erat kedua orang tuanya, setelah tidak dapat berbuat demikian selama lima tahun.

Dia juga berjanji kepada kedua ibu bapanya dia tidak akan melukakan lagi hati mereka.

Paul 'menemui dirinya' melalui proses yang getir, merengkuk lima tahun di sebalik tabir besi. Dia juga sudah meletakkan noktah kepada kehidupan silamnya dan berikrar dia tidak akan lagi menjejakkan kakinya ke penjara.

Anak muda ini sudah bersedia untuk membuka halaman baru dalam diari kehidupannya. Dengan bantuan Shelter, dia sedang mencari peluang pekerjaan untuk membina kehidupan dan membantu ibu bapanya.

Paul mempunyai sijil dalam automekanik. Dia juga bercita-cita mengikuti pengajian undang-undang suatu hari nanti supaya dia boleh membantu mereka yang mungkin mengalami nasib sepertinya.

Kepada mereka yang masih di bangku sekolah, Paul ingin memberi nasihat ini:" Fikir terlebih dahulu kalau mahu melakukan sesuatu yang tidak baik, fikirkan ibu bapa, pengorbanan mereka dan akibat yang terpaksa ditanggung akibat perbuatan yang tidak baik itu. Ingat pepatah Melayu, 'Tepuk Dada Tanya Selera' dan 'Sepandai-pandai Tupai Melompat, Akhirnya Jatuh Ke Tanah juga!'

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP