Thursday 12 November 2009

Nizar News: PKR Goncang Kah??

KADANG-KADANG pelik betul dunia politik di Malaysia, bila timbul sesuatu masalah dalaman sesebuah parti politik terutamanya pihak pembangkang, cepat betul keluar kenyataan pemimpin tertinggi parti yang mengatakan masalah itu telah berjaya diselesaikan.

Tatkala tengah panas dengan pelbagai kenyataan dari banyak pihak, keluarlah kenyataan-kenyataan klise seperti 'sesuatu yang unik dalam parti ialah kita berjaya selesaikan perselisihan faham dikalangan ahli secara baik, semua pihak berhak kemukakan pandangan dalam parti'.

Tapi pada hakikatnya timbul persoalan berhubung kesahihan perkara berkenaan kerana mana mungkin ledakan sesuatu isu itu berjaya diselesaikan sekelip mata. Terbaru, konflik dalaman yang berlaku dalam Parti Keadilan Rakyat (PKR) apabila Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Zulkifli Noordin mencabar Naib Presiden parti, R. Sivarasa supaya meletak jawatan.

Malah Zulkifli juga mencabar Sivarasa yang juga Ahli Parlimen Subang supaya bertanding satu lawan satu dengannya bagi jawatan itu untuk membuktikan siapakah di antara mereka berdua paling relevan kepada parti dan ahli.

Tindakan cabar-mencabar itu ekoran kenyataan Sivarasa dalam akhbar The Star yang dipetik sebagai berkata: "Amaran Ketua Umum, Datuk Seri Anwar Ibrahim kepada ahli PKR supaya keluar parti dan menyertai Umno ditujukan kepada orang seperti Zulkifli, akibat tindak tanduknya yang tidak selaras dengan dasar parti."

Nampaknya goncangan yang berlaku dalam kapal PKR yang dinakhodakan oleh Anwar sebagai penasihat parti bukan lagi rahsia tertutup yang boleh dilindung. Satu demi satu pendedahan terdedah di depan mata, bermula dengan pengumuman 'cuti politik' oleh bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Zaid Ibrahim selama enam bulan berkuatkuasa serta merta selepas Anwar dikatakan menghalangnya daripada menghadiri program parti itu di Sabah.

Kes Zaid ini secara tak langsung mengheret seorang lagi Naib Presiden PKR, Azmin Ali berhubung konflik kepimpinan yang melanda PKR Sabah. Belum sempat habis isu kepimpinan ini selesai, goncangan terus melanda PKR apabila Datuk Dr Jeffrey Kitingan mengambil keputusan meletak jawatan sebagai Naib Presiden PKR dan anggota majlis tertinggi dan biro politik.

Dalam masa kurang 24 jam selepas Dr Jeffrey mengumumkan pendiriannya, Ketua Bahagian Kota Kinabalu Christina Liew pula mengumumkan peletakan jawatan sebagai anggota majlis tertinggi parti. Badai sekali lagi melanda PKR apabila Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Badrul Hisham Abdullah bertindak keluar daripada PKR setelah tidak lagi menyokong prinsip serta amalan dalam parti pembangkang itu yang didakwa 'menganaktirikan' beliau sebagai wakil rakyat berbanding ADUN-ADUN lain di Selangor.

Bagi kes Dr Jeffrey, Christina dan Badrul, ketiga-tiga mereka menyatakan telah hilang sokongan terhadap PKR yang diterajui '3A' iaitu Anwar; Presiden parti, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Azmin. Berbalik kepada kes terbaru yang melibatkan Zulkifli dan Sivarasa, secara tidak langsung perbalahan mereka telah membuka satu lagi pekung dalam parti itu.

Sekali pandang nampak macam wujud tiga 'kem' dikalangan 30 Ahli Parlimen PKR. Kem pertama ialah yang teguh berdiri di belakang Anwar seperti Azizah, Azmin, Nurul Izzah, Sivarasa dan Pengarah Pilihan Raya, Saifuddin Nasution. Kumpulan ini juga cukup berpegang teguh kepada polisi parti itu.

Kem kedua ialah yang berada di belakang Zulkifli, seperti Datuk Zahrin Mohd Hashim (Bayan Baru), Wee Choo Keong (Wangsa Maju), Datuk Kamarul Bahrin Abbas (Teluk Kemang), Abdullah Sani Abd Hamid (Kuala Langat), Mohd Yusmadi Yusof (Balik Pulau), Azan Ismail (Indera Mahkota) serta Abd Aziz Abd Kadir (Ketereh). Selain mereka ialah S. Manikavasagam (Kampar), Loh Gwo Burne (Kelana Jaya) dan Datuk Rashid Din Zainudin (Merbok).

Manakala kem ketiga ialah kelompok yang memilih jalan selamat dengan menyatakan pendirian berkecuali seperti Hee Loy Sian (Petaling Jaya Selatan) dan Datuk Johari Abdul (Sungai Petani). Namun walau apa jua pendirian mereka, gambaran yang ditunjukkan kepada umum ialah PKR sememangnya parti yang mempunyai masalah dari segi kempimpinannya.

Kapal yang berlayar gah selepas Pilihan Raya Umum ke-12 lalu, nampaknya telah mula hilang arah selepas satu demi satu anak kapalnya mula 'buat hal' dengan sikap masing-masing. Apa yang sebenarnya berlaku dalam parti itu mungkin sukar ditelaah pada masa ini.

Tapi yang pasti memang berlaku goncangan yang cukup hebat dalam kapal PKR dan perlu diberi perhatian sewajarnya. Jika tidak, takut nanti kapal yang dibina atas simbul keadilan itu karam sebelum cita-cita politik mereka berjaya direalisasikan.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP