Tuesday 10 November 2009

Nizar News: Sejak Isu PKFZ: SPRM Buka 41 Fail: Hanya Buka??

Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah bertindak terhadap pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2008 dengan setakat hari ini telah membuka 41 fail siasatan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, beliau yakin SPRM akan melaksanakan tugasnya dengan profesional dan telus bagi membawa pihak terbabit ke muka pengadilan.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak bersabar dan memberi peluang kepada SPRM melaksanakan tugas tanpa sebarang tekanan. "Keseriusan SPRM untuk mengambil tindakan berhubung pendedahan Laporan Ketua Audit Negara tidak perlu diragui.

"Ini telah terbukti pada tahun lepas apabila 15 orang dituduh di mahkamah atas 94 pertuduhan di samping 18 laporan tata tertib dan surat nasihat telah dikeluarkan kepada jabatan atau agensi berkaitan," katanya ketika menggulung perbahasan Bajet 2010 di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam isu berlainan, Mohamed Nazri menjelaskan, siasatan mengenai dakwaan berlakunya rasuah dalam percutian Tun Eusoff Chin di New Zealand pada 1994, mendapati bekas Ketua Hakim Negara itu menggunakan duitnya sendiri untuk membayar kos tiket penerbangan dan penginapan.

Katanya, tiket penerbangan Eusoff sekeluarga dibayar melalui cek dan wang tunai yang keseluruhannya berjumlah RM23,704 manakala bayaran hotel dibuat melalui kad kredit beliau.

Mengenai tempahan percutian pula, Mohamed Nazri berkata, Eusoff telah menggunakan khidmat seorang ejen yang kemudiannya berurusan dengan sebuah syarikat iaitu Holiday Tour.

"Peguam V.K Lingam pula telah mengaturkan percutian sendiri dan menyerahkan urusan mengenainya kepada setiausahanya yang kemudiannya berurusan dengan ejen yang sama. "Eusoff dan Lingam didapati telah menginap di hotel-hotel yang sama untuk sebahagian daripada percutian mereka," katanya.

Mengenai pelantikan hakim, Mohamed Nazri menegaskan bahawa tiada apa-apa yang menghalang Perdana Menteri daripada mendapatkan pandangan mana-mana pihak untuk tujuan itu. Jelas beliau, tidak menjadi satu kesalahan untuk mana-mana pihak memberikan pandangan mereka kepada Perdana Menteri melainkan jika ia merupakan konspirasi untuk menjatuhkan badan kehakiman, mahu mendapatkan balasan, melibatkan rasuah atau untuk mempengaruhi.

"Tidak menjadi sesuatu yang ganjil pandangan pelbagai individu dan organisasi diminta dan diambil kira dalam pelantikan hakim-hakim kerana pada hakikatnya Perdana Menteri seorang diri tidak akan dapat membuat keputusan kerana tidak mengenali calon-calon.

"Malah anggota Majlis Peguam sendiri pernah menulis surat untuk mendapatkan sokongan Peguam Negara berkenaan dengan pelantikan seorang hakim tertentu supaya ia disampaikan kepada Perdana Menteri," katanya.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP