Thursday 19 November 2009

Nizar News: Tiada Kegiatan BTN Di UNISEL

Tidak ada aktiviti yang dikendalikan secara langsung oleh Biro Tata Negara (BTN) untuk pelajar Universiti Industri Selangor (Unisel), kata Timbalan Naib Canselornya, Prof Madya Zainal Abidin Kidam.

Beliau yang mengetuai bahagian hal ehwal pelajar (HEP) universiti tersebut berkata, beliau bagaimanapun tidak dapat memastikan sekiranya ada program yang melibatkan biro berkenaan secara tidak langsung.

"Mungkin sesuatu aktiviti itu ada guna kepakaran atau kemudahan BTN. Itu kita tidak pasti," katanya ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

"Secara tidak langsung, mungkin ada melalui persatuan, tetapi tidak secara langsung dengan BTN," tegasnya.

Katanya, kerjasama secara tidak langsung dengan BTN itu mungkin wujud kerana biro tersebut mempunyai kemudahan seperti kem di seluruh negeri itu yang boleh digunakan untuk aktiviti pelajar Unisel.

"Tapi sejak awal tahun ini memang tidak ada program khas yang ditawarkan oleh BTN (di Unisel), memang tak ada," tegasnya.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas gesaan sebilangan ADUN muda Pakatan Rakyat semalam yang mahu pelajar institusi pengajian tinggi di bawah kerajaan Selangor, tidak lagi dihantar menyertai program berkenaan.

Mereka mendakwa, program anjuran agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri itu menyemai sentimen perkauman di kalangan pelajar.

Sepucuk surat menggesa pemulauan program berkenaan dihantar oleh ADUN berkenaan kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim, yang juga merupakan pengerusi Unisel.

Zainal, yang mengetuai bahagian HEP universiti tersebut sejak awal tahun ini bagaimanapun enggan menjelaskan kandungan program BTN itu, yang didakwa memupuk semangat perkauman di kalangan pelajar.

"Secara khususnya saya tidak boleh komen tentang program BTN sebab saya tidak pernah tengok programnya," tambahnya.

Menurutnya lagi, beliau tidak mengetahui sekiranya pelajar universiti berkenaan diwajibkan untuk menyertai program berkenaan sebelum ini.

Jelasnya, semenjak beliau mengetuai unit HEP awal tahun ini, pelajar itu dilibatkan dalam program SPIES (Kerohanian. Fizikal. Intelektual. Emosi. Sosial).

"Kita hantar pelajar menyertai program SPIES. Program ini untuk pembangunan kendiri pelajar yang diwujudkan oleh kerajaan negeri Selangor, khusus untuk pelajar universiti di bawah kerajaan negeri," katanya lagi.

Sementara itu, seorang pemimpin mahasiswa universiti berkenaan berkata program BTN tidak diwajibkan kepada pelajar di universiti swasta seperti Unisel.

Yang dipertua majlis perwakilan pelajar universiti itu, Wan Azraei Wan Husain berkata aktiviti melibatkan BTN itu sebelum ini diuruskan oleh sebuah persatuan pelajar, dan disertai secara sukarela oleh pelajar.

"Sebelum ini ada program dengan BTN melalui persatuan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS). Tapi sekarang sudah tidak ada," kata Wan Azraei yang juga mahasiswa tahun akhir jurusan pengurusan industri itu.

Antara pengisian program tersebut juga ada yang berkaitan politik, katanya Azraei yang pernah menyertai program berkenaan ketika menuntut di sebuah IPTA sebelum ini.

"Secara ringkasnya, program ini lebih kepada menyemai semangat nasionalisme dan ada juga menyentuh mengenai politik secara umum," katanya ketika dihubungi hari ini.

"Ini diterangkan oleh penceramah semasa dalam kem," tambahnya.

Ditanya sekiranya peserta didedahkan mengenai parti atau parti politik tertentu dalam ceramah, Azraei hanya menjawab: "Tidak pasti."

Seorang wakil rakyat PKR, Nik Nazmi Nik Ahmad semalam berkata, program BTN yang pernah disertainya menekankan, antara lainnya penasihat PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim merupakan seorang Yahudi, DAP sebuah parti ejen Singapura dan PAS sebuah parti ajaran sesat.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP