Thursday, 10 December 2009

Kerana DAP Pemimpin Pas Bercangah Sesama Sendiri Isu Dana Bina Masjid

Timbalan presiden PAS menggesa isu peruntukan besar untuk pembinaan masjid, tetapi rumah ibadat bukan Islam diabaikan, tidak dibesar-besarkan lagi oleh DAP seperti diungkitkan seorang ahli parlimennya.

Namun beberapa ahli parlimen PAS yang diketuai bendahari pusatnya Dr Mohd Hatta Ramli (Kuala Krai) pula menyokong Nga Kor Ming (Taiping), yang juga setiausaha DAP Perak berhubung isu tersebut.

Nasharudin Mat Isa bimbang kenyataan Nga boleh membangkitkan sentimen agama dan menimbulkan salah faham umat Islam.

Beliau (foto kanan), yang juga ahli parlimen Bachok, berkata salah faham dalam isu seumpama ini boleh "dijadikan bahan untuk merungkai kesepaduan Pakatan Rakyat."

Di Dewan Rakyat kelmarin, Nga mempersoalkan perbelanjaan kerajaan sebanyak RM748.26 juta bagi membina 611 masjid dalam tempoh lapan tahun hingga 2008, sedangkan kerajaan didakwa gagal membina rumah ibadat agama lain dalam tempoh tersebut.

Kenyataannya itu dilaporkan dipertikaikan oleh seorang lagi ahli parlimen, Datuk Ibrahim Ali, yang menyifatkannya "biadap" dan "dan cuba menyalakan api dalam sekam".

"Dia (Nga) boleh desak kerajaan beri peruntukan lebih untuk kegiatan agama lain tetapi dia tak boleh membandingkan peruntukan yang diberi oleh kerajaan untuk pembinaan masjid.

"Apabila itu berlaku apatah lagi dibuat di luar Parlimen, maka ini sudah jadi hasutan selain satu kenyataan politik yang cuba menimbulkan pergaduhan agama," Ibrahim, yang juga presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa (PERKASA), dipetik berkata semalam.

Dalam satu kenyataannya hari ini, Nasharudin bagaimanapun berkata orang bukan Islam berhak "menuntut pembinaan rumah ibadat mereka tetapi bukan dengan mempertikaikan atau membandingkan hak agama Islam sebagai agama rasmi."

"Kerajaan juga turut digesa untuk berlaku adil kepada semua rakyat dalam memenuhi keperluan mereka seperti mana yang telah digariskan dalam lunas perlembagaan negara," katanya.

Beliau juga berharap pemimpin-pemimpin gabungan pembangkang menggunakan "saluran dalaman" untuk membangkitkan isu-isu yang disifatkannya "menyinggung sensitiviti agama dan bangsa".

"(Cadangan) ini bagi mengelakkan sebarang polemik seperti mana yang pernah melanda Pakatan Rakyat sebelum daripada ini," kata Nasharudin lagi.

Sementara itu, Dr Mohd Hatta dan dua lagi wakil rakyat PAS bersama Nga (foto kiri) mengadakan sidang akhbar di lobi Parlimen untuk mempertahankan pemimpin DAP itu.

Turut hadir, ahli parlimen PKR bagi Sungai Petani, Datuk Johari Abdul.

Dr Mohd Hatta menyalahkan Utusan Malaysia, yang melaporkan isu ini di halaman depannya hari ini, dengan menyifatkan ia telah melanggar etika kewartawanan.

Bersama ahli jawatankuasa pusat PAS Dr Lo' Lo' Mohamad Ghazali (Titiwangsa) dan Khalid Samad (Shah Alam), beliau bertegas akan mempertahankan Nga.

Wartawan akhbar itu, yang berada di situ, menafikan ia membesar-besarkan isu tersebut, sebaliknya menyatakan ia hanya melaporkan kenyataan beberapa pihak yang tidak berpuas hati pada Nga.

Dalam sidang media sama, Nga menafikan beliau mempertikaikan Islam apabila membuat perbandingan peruntukan untuk masjid dan rumah ibadat bukan Islam.

Laporan Bernama pula menyebut PERKASA Pahang hari ini membuat aduan di balai polis Bentong terhadap Nga.

Yang dipertuanya Dr Zubir Harun dilaporkan berkata kenyataan Nga
"amat menghina agama Islam, Yang di-Pertuan Agong dan Raja-raja Melayu serta berbaur hasutan yang boleh menyebabkan pergaduhan agama yang serius.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP