Monday 25 January 2010

Terkenang King Ghaz

Tun Ghazali Shafie (22 Mac 1922-24 Januari 2010) merupakan ahli politik Malaysia era Tunku Abdul Rahman hinggalah era Tun Dr Mahathir Mohamad iaitu dari 1970-1984. Beliau lahir di Kuala Lipis, Pahang dan meninggal kerana sakit tua.


Pendidikan

Ghazali mendapat pendidikan awal di beberapa sekolah Melayu dan Inggeris di sekitar Raub, Kuala Lipis, Bentong dan Penjum sebelum melanjutkan pelajaran di Clifford School, Kuala Lipis pada 1939 hingga 1940.

Pada 1941, beliau melanjutkan pendidikan di Raffles College Singapura sebelum ke London di mana beliau menerima Ijazah LLB (Kepujian) di University College of Wales dan kemudian mendapat ijazah dalam bidang pengajian antarabangsa di London School of Economics pada 1954.

Politik dan Kerjaya

1941-1946 beliau berkhidmat dalam Pasukan Sukarelawan Malaya dan Pasukan Gerakan Menentang Jepun. Kemudian menjadi kerani di Selangor. 1957 menjadi Pesuruhjaya Tinggi Malaya ke India .1959 menjadi Ketua Setiausaha di Kementerian Luar Negeri .

Ghazali mula berkecimpung dalam bidang politik dengan menyertai Persatuan Melayu Pahang pada 1946 yang pada mulanya melakukan kerja-kerja kebajikan sebelum diserap memasuki UMNO.Pada tahun 1958 beliau dipilih menjadi Ahli Jawatankuasa Politik Umno sehingga 1978. Beliau pernah beberapa kali menjawat jawatan Ahli Majlis Tertinggi Umno dan merupakan Naib Presiden Umno pada 1981. Ghazali pernah dilantik sebagai Senator pada tahun 1970 hingga 1972. Beliau bertanding dalam Pilihan Raya Umum Malaysia 1974Lipis dan menang tanpa bertanding. Beliau pernah bertanding jawatan naib presiden UMNO tetapi tewas pada 1972 dan 1975. 1981 beliau menang jawatan jawatan Naib Presiden UMNO.

Beliau berkhidmat di bawah empat perdana menteri bermula dari zaman Tunku Abdul Rahman sehingga era Tun Dr Mahathir Mohamad.

Perkhidmatannya dalam kabinet agak lama bermula pada tahun 1970 apabila dilantik sebagai Menteri Tugas-tugas Khas (1970). Kemudiannya sebagai Menteri Tugas-tugas Khas dan Penerangan pada April 1972. Sebagai Menteri Tugas-Tugas Khas merangkap Menteri Penerangan Malaysia, beliau bertanggungjawab membentuk , merangka dan melaksanakan Dasar Ekonomi Baru serta merangka Rancangan Malaysia Kedua 1970-1975.

Kira-kira 16 bulan kemudian beliau diberikan kepercayaan sebagai Menteri Dalam Negeri dan Penerangan, di mana jawatan Menteri Dalam Negeri itu dipegangnya sehingga Julai 1981 apabila beliau bertukar ke jawatan Menteri Luar.

Ghazali menjadi Menteri Luar Negeri dari Julai 1981-Julai 1984. Dasar luar semasa zaman Tun Abdul Razak diperkukuhkan dengan pembentukan ICG iaitu Majlis Antara Kerajaan-Kerajaan.

Beliau pernah menjadi pegawai kerajaan dan duta kanan ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu. Peranan beliau amat berkesan bagi menghadapi kebanjiran pendatang haram Vietnam ke Pulau Bidong, Terengganu

Kepakarannya dalam bidang perhubungan antarabangsa amat terserlah serta dihormati dan ini dapat dilihat melalui jawatan-jawatan yang disandang termasuk Pengerusi Persidangan Asia mengenai persoalan Palestin pada 1983, ahli Suruhanjaya Selatan dan juga pengerusi suruhanjaya yang ditubuhkan bagi membuat cadangan mengenai rombakan dan pengukuhan mekanisme Asean.

Sumbangan

Satu lagi penghormatan ialah terpilih sebagai ahli dalam Pasukan Eminent Persons Komanwel untuk Afrika Selatan bagi memberi sokongan kepada proses rundingan pelbagai parti pada 1981, ahli Kumpulan Pemerhati Komanwel untuk Pilihan Raya Umum Afrika Selatan, ahli Kumpulan Pemerhati Pilihan Raya Sri Lanka, dan Pilihan Raya Bosnia Herzegovina serta Pengerusi Kumpulan Pemerhati Komanwel untuk Pilihan Raya Bangladesh.

Setelah meletak jawatan daripada kabinet pada Julai 1984, beliau menumpukan perhatian pada bidang lain yang menyaksikan beliau menjawat jawatan penting dalam sektor swasta dan pertubuhan antarabangsa. Antaranya menjadi Pengerusi Landmarks Holding Bhd ,MUI Finance, Pengerusi Paremba, Pengerusi Lembaga Penasihat Rolls-Royce Asia Tenggara, Pengerusi Westmont Bank Manila, Filipina, Pengerusi Intermega Energy NL, Australia.

Beliau pernah menjadi Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (MAAU) dari 1962-1988. Dari 1993-1995 beliau menjadi Karyawan tamu di Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia. Beliau menjadi pengasas dan presiden pertama Galeri Seni Negara pada 1959, Ahli Majlis Pengelola Universiti Malaya, Ahli Majlis Gerakan Negara (Mageran), Pengerusi Majlis Pengelola Institut Teknologi Mara, dan ahli pengasas Malayan Forum, United Kingdom. Beliau pernah dilantik sebagai penasihat khas kepada Perdana Menteri Malaysia mengenai hal ehwal luar, serta bertugas sebagai perunding World Bank Economic Development Institute.

Tun Ghazali menjadi Presiden Kehormat Seumur Hidup Kelab Penerbangan Diraja Selangor serta Presiden Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (1962-1988), sehingga beliau diberikan Anugerah Tokoh Sukan pada tahun 2002.

Pembentukan Malaysia

Beliau menjadi penasihat tetap Suruhanjaya Cobbold bagi meninjau pendapat rakyat Sabah dan SarawakMalaysia. Peranan beliau dalam pembentukan negara Malaysia dengan penyertaan Sabah dan Sarawak cukup signifikan.

Beliau bertanggungjawab terhadap pembentukan Rukunegara iaitu satu prinsip perpaduan negara selepas Peristiwa 13 Mei. Cogan kata Bersatu Bertambah Mutu bagi Malaysia juga adalah hasil inisiatif beliau sebagai Menteri Penerangan pada tahun 1970.

Terselamat dalam nahas Cessna

Pada 10 Januari 1982, pesawat Cessna 206 yang dipandu Tun Mohd Ghazali Shafie, ketika itu Menteri Luar Negeri Malaysia terhempas di Kampung Janda Baik.Mereka dari Kelab Pnerbangan Diraja Selangor, Kuala Lumpur dalam penerbangan ke Kuala Lipis, kawasan pilihan raya yang diwakilinya.Bagaimanapun Mohd Ghazali terselamat kerana jatuh di atas rimbunan pokok buluh.Manakala pembantu juruterbang dan pengawal peribadinya (ASP Charon Daam dan co-pilot Vergis Chacko) terbunuh. Dua mayat ditemui dalam helikopter yang terhempas jam 3.00 petang dan diterbangkan ke Hospital Besar Kuala Lumpur.

Pada 22 Jun 1983, coroner Abdullah Sidek di Mahkamah Majistret Bentong, Pahang memutuskan kematian dua orang penumpang itu kerana kemalangan udara. Perbicaraan berlangsung dari 14-18 Mei 1983. Juruterbang membuat keputusan merempuh awan di Waterworks Gap. Vergis patah di leher dan pendarahan dalaman. Sementara Charon cedera teruk di tengkorak dan leher.

Peristiwa 13 Mei

Kajian / hipotesis oleh Kua Kia Soong terhadap Peristiwa 13 Mei mendapati bahawa nasionalis Tun Abdul Razak cuba melakukan rampasan kuasa terhadap Tunku Abdul Rahman dengan sokongan daripada Dato' Harun bin Idris, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Tun Ghazali Shafie.

Trivia

1. Ghazali dikenali sangat tegas dalam segala kerja yang dibuatnya sehinggakan beliau digelar 'King Ghaz'.

2. Beliau dikenang oleh wartawan yang bertugas pada zamannya sebagai sangat garang kerana sikapnya yang sentiasa mengharapkan para wartawan mempunyai pengetahuan lengkap mengenai sesuatu isu atau perkara yang ingin ditanya kepada beliau. Ini menyebabkan ramai wartawan cukup berhati-hati apabila berdepan dengan beliau ketika membuat liputan.

Anugerah

Beliau mendapat anugerah kehormat kerajaan asing termasuk dari Singapura, Perancis, Republik Korea, Iran, Filipina, Jepun, Tunisia, Thailand, Austria dan Korea Utara.

Hasil tulisan

Ghazali Shafie's Memoir on the Formation of Malaysia (2nd printing). 2004. Ghazalie Shafie. Penerbit UKM: Bangi ISBN 967-942- 364-6 (paperback)

Ghazali Shafie: Malaysia, Asean and the New World Order. 2000. Ghazalie Shafie. Penerbit UKM: Bangi ISBN 967-942-479-0/ 967-942-487-1 (international Edition).

Tamadun Melayu: Menyongsong Abad kedua Puluh Satu. 1997. Ismail Hussein, Wan Hashim Wan Teh & Ghazali Shafie. Penerbit UKM: Bangi ISBN 967-942- 379-4 216 hlm.

Rumpun Melayu dan Bangsa Malaysia Menjelang Tahun 2020. 1995. Ghazali Shafie. Penerbit UKM: Bangi ISBN 967-942-326-3.

Keluarga

Isterinya Toh Puan Khatijah Abdul Majid meninggal dunia pada April 2008. Anak lelakinya Bachtiaer dan Sheriffudin.

Meninggal dunia

Beliau meninggal dunia meninggal di rumahnya di Wangsa Baiduri, Subang Jaya jam 7.45 malam , Ahad 24 Januari 2010 akibat sait tua. Kemudian dipindahkan ke rumah adik perempuannya Datin Yuhanis Shafie di Damansara Utama.Jenazah disembahyangkan di Masjid Al-Mujahiddin Damansara Utama. Dikebumikan di Makam Pahlawan bersebelahan Masjid Negara.

Turut hadir ialah Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Khalil Yaakob, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob. Tun dilahirkan pada 22 Mac 1922 dan meninggal dunia pada 24 Januari 2010.

AL-FATIAH

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP