BUAT masa ini, saya nekad tidak mahu bersamanya lagi. Sejak awal perkahwinan lagi, kami sering berselisih pendapat.
"Apa yang berlaku membuatkan saya trauma untuk berkahwin lagi. Semoga Allah memberi saya kekuatan untuk meneruskan kehidupan ini."
Itu luah rasa yang menggambarkan betapa kecewanya penyanyi Siti Nordiana Alias atau Nana.
Pada usia 25 tahun, dia harus menerima ketentuan takdir bahawa jodohnya dengan aktor Mohd. Faizal Yusop, 31, tidak mampu bertahan lama.
Mengakui sudah tidak tinggal bersama suami, Nana dalam nada sebak memberitahu, Faizal telah melafazkan cerai terhadapnya sebanyak dua kali dalam dua tarikh berlainan pada Ogos lalu.
Ungkapan cerai yang dilafazkan Faizal pada kedua-dua tarikh itu amat jelas dan masing-masing mencapai persetujuan untuk berpisah.
Menolak dakwaan punca perceraian disebabkan oleh kehadiran pihak ketiga, Nana berkata, sebetulnya, antara dia dan Faizal sudah lama tiada persefahaman dan sering berbeza pendapat.
"Kalau orang kata ada pihak ketiga sebagai punca kami berpisah, tidak juga. Maaf, punca sebenar perceraian ini tidak dapat saya kongsi dengan anda semua (media).
"Kami juga sudah tinggal berasingan sejak sebulan lalu. Dalam hal ini, saya sudah merujuk kepada Jabatan Agama Islam mengenai lafaz cerai yang dilakukan oleh Faizal," kata Nana dalam nada tenang.
Pasangan itu kini sedang menunggu proses undang-undang di Mahkamah Syariah.
Nana dan Faizal bertemu jodoh pada 28 April 2006. Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata, Muhamad Rayyan Nakhaie yang kini berusia setahun lima bulan.
Sebelum ini, pada 2007, rumah tangga Nana dan Faizal pernah menjadi bualan ramai pihak yang mengatakan rumah tangga mereka sudah bergoyang, ada campur tangan orang ketiga dan macam-macam lagi.
Ketika itu, bagi menjawab tohmahan tersebut, Nana menjelaskan, dakwaan itu timbul apabila ramai yang melihat dia dan Faizal masih lagi belum menimang cahaya mata selain mereka jarang keluar bersama.
Ini kerana Faizal sibuk dengan dunia lakonannya sementara Nana juga dengan undangan pertunjukan pentas dan rakaman album baru.
|
NANA bersama buah hatinya, Mohd. Rayyan.
|
Menyambung bicara mengenai perceraian, Nana yang kini bekerja sebagai Kaunselor Pendidikan di Unity College International, Petaling Jaya, Selangor berkata, melihatkan apa yang berlaku, dia sudah bersedia untuk bergelar janda dan ibu tunggal.
Mengahwini Faizal bukan kesilapan
Ujarnya, mengahwini Faizal bukanlah satu kesilapan dan dia mengakui masih merindui suaminya itu.
"Walaupun begitu, kami memang tidak boleh hidup bersama lagi. Saya tidak pernah menyesal terhadap apa yang berlaku.
"Faizal masih kawan saya. Segalanya akan saya jadikan sebagai pengajaran untuk menghadapi masa depan.
"Hidup perlu diteruskan dan saya perlu bekerja keras untuk menampung kehidupan,'' jelasnya yang satu ketika dahulu popular dengan lagu berjudul Bukan Mengungkit Tapi Membangkit, Selamanya Cinta dan Perlukanmu.
Ditanya mengenai penerimaan keluarga, ujar Nana, baik keluarga sendiri mahupun mertua, mereka selagi mampu berusaha untuk menyelamatkan rumah tangga Nana dan Faizal.
"Ada juga mereka pujuk. Mertua saya pun ada cuba berbincang. Mereka pun tidak menyokong mana-mana pihak,'' katanya.
Sementara itu, ketika ditanya mengenai hak penjagaan Rayyan, Nana memberitahu, buat masa ini, dia dan Faizal akan bergilir-gilir menjaga anak sulung mereka itu.
"Mahkamah memang belum menentukan soal penjagaan Rayyan. Insya-Allah kami akan bertolak ansur dalam hal berkenaan. Tetapi, apa yang saya ingin katakan, saya memang tidak sanggup berpisah lama dengan Rayyan.
"Sungguhpun begitu, saya tidak boleh menafikan hak Faizal untuk menjaga Rayyan kerana dia juga mempunyai hak yang sama,'' kata Nana.
|
tinggal kenangan...kini Nana dan Faizal Yusop bawa haluan hidup masing-masing.
|
Sempena Aidilfitri nanti, jelasnya, Rayyan akan meraikan lebaran bersamanya pada hari raya pertama dan kedua dan selepas itu, cahaya matanya itu akan beraya bersama Faizal pula.
"Ini adalah pertama kali beraya berasingan,'' jelasnya penuh tabah.
Jangan fitnah Nana dan Achik
Beralih perbualan kepada kisah perjalanan seninya, Nana berkata, pengurusan syarikat rakaman FMC mempunyai perancangan untuk menghasilkan album duet dia bersama Achik (Spin).
Hampir dua tahun tenggelam dalam dunia nyanyian, Nana mahu kembali aktif menyanyi seperti dahulu.
"Pihak pengurusan FMC merancang untuk menemukan kembali saya dan Achik. Kami berdua tidak punyai masalah untuk berduet.
"Cuma nanti, janganlah selepas ini ada yang fitnah kami macam-macam hanya kerana saya sudah tidak bersama Faizal lagi,'' pinta Nana bagi memastikan keadaan berjalan lancar selepas dia kembali solo.
Read more...