Friday, 6 November 2009

Nizar News: Dr Abdul Aziz Bari Naik Gila: Buat Analisa Tak Akademik: Ikuti Pandangan Cetek nya Itu

Kepemimpinan Presiden PAS Datuk Abdul Hadi Awang dianggap sangat lesu sehingga boleh diumpamakan beliau "Pak Lah versi PAS", kata ahli akademik Prof Dr Abdul Aziz Bari hari ini.

Tun Abdullah Ahmad Badawi dianggap seorang pemimpin lemah, tidak tegas, lembab dalam pelaksanaan dasar dan dipersalahkan atas kemerosotan teruk BN sehingga dipaksa melepaskan jawatan presiden Umno dan perdana menteri.

Pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu menambah, oleh itu Abdul Hadi kini dianggap "beban" parti itu untuk terus mengembangkan pengaruhnya dan memainkan peranan lebih besar dalam politik baru Pakatan Rakyat.

Dr Abdul Aziz juga berkata, walaupun pada 1980-an dan 1990-an tokoh agama itu berpengaruh luas khususnya melalui pidato tetapi kini presiden PAS itu kini "sudah hilang stim".

Dalam wawancara dengan Malaysiakini hari ini, pakar undang-undang perlembagaan mendakwa, kegagalan Abdul Hadi bertindak sebagai "tokoh nombor satu" diburukkan lagi oleh peranan pemimpin lain seperti timbalannya Nasharuddin Mat Isa dan setiausaha agung, Datuk Mustafa Ali.

Beliau juga mendakwa, Abdul Hadi tidak lagi mempunyai ciri seorang pemimpin dalam senario politik baru, hubungan awamnya pula tidak baik dan gagal berfungsi sebagai ideolog atau peneraju utama yang menjelaskan wawasan parti seperti "PAS untuk semua" dan "negara berkebajikan".

Abdul Hadi masih lagi berlegar di sekitar isu Melayu-Islam semata-mata seperti isu yang dijuarai parti itu sejak dulu, tambahnya.

Dr Abdul Aziz, yang kini semakin lantang mendesak pengunduran Abdul Hadi, diundang membentangkan analisis kemerosotan PAS dalam seminar politik parti itu di Gombak, esok.

Seminar sehari itu, yang dijangka melibatkan 1,000 pemimpin atasan dan akar umbi PAS, dianjurkan susulan desakan mengadakan muktamar khas bagi membincangkan "beberapa pemimpin bermasalah".

Ditemui di pejabatnya di kampus UIA pagi ini, Dr Aziz berkata kelemahan Abdul Hadi, yang juga ahli parlimen Marang, sudah diketahui oleh barisan pemimpin PAS tetapi tiada siapa yang berani menegurnya secara terbuka.

0 comments:

Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP