Nizar News: Pandangan ZulkifliNordin Tetang Tauliah JAIS
Saya tertarik membaca lapuran hari ini yang memetik Exco Hal Ehwal Islam Selangor iaitu YB Datuk Dr. Hassan Ali yang menyatakan bahawa keperluan tauliah untuk menyampaikan ceramah dan pengajian Islam dalam negeri Selangor akan diteruskan, malahan pentadbiran masjid dan surau yang enggan mematuhi arahan ini akan dipecat.
Saya ingin menarik perhatian tentang dasar yang diperjuangkan oleh Pakatan Rakyat ialah dasar keterbukaan. Saya telah menulis panjang lebar baru-baru ini bahawa dasar pra-syarat tauliah ini adalah dasar warisan penjajah yang sudah lapuk; dan adalah satu agenda jahat penjajah barat sehingga melesukan pengembangan agama Islam dan melumpuhkan semangat jihad dikalangan umat. Hinggakan institusi khutbah dan mimbar Jumaat menjadi begitu hambar, malahan menjadi medan tidur yang enak bagi jemaah yang mencari alasan untuk berdengkur!
Saya menyeru YB Datuk Dr. Hassan Ali supaya dapat mengkaji semula dasar prohibitif tersebut. Saya masih ingat semasa di zaman pra-kerajaan dahulu bagaimana sukarnya kami penceramah dan pendakwah menyampaikan ceramah disurau masjid kerana menghadapi sekatan tauliah. Malah kita pernah berazam apabila kita memerintah kita akan hapuskan keperluan tauliah ini. Saya berharap keazaman itu masih ada! Kita sudahpun diberi amanah pemerintahan oleh ALLAH!
Saya mencadangkan supaya peraturan penjajah yang mensyaratkan tauliah ini iaitu Seksyen 118 dan Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Undang-Undang Islam Selangor dimansuhkan. Marilah kita menjadi negeri yang pertama membuka semula masjid dan surau dan menjadi pusat penyebaran ilmu dan pengembangan Islam. Hidupkanlah semula institusi khutbah dan mimbar Jumaat, jangan dibekukan dengan pembacaan teks yang jumud dan kaku; sebaliknya kita kembalikan kegemilangan khutbah dengan memberi ruang dan kebebasan kepada para khatib menyampaikan khutbah.
Sekiranya sebarang kekhuatiran timbul tentang kemungkinan penyalahgunaan medan ceramah, kuliah dan khutbah; saya kira ianya kekhuatiran yang tidak berasas kerana kita punya banyak peruntukkan perundangan untuk mengambil tindakan dan penguatkuasaan terhadap mereka-mereka yang terbabit.
Kita perlu ingat, Islam adalah agama risalah, ia adalah agama da'wah. Nabi sendiri pernah menyebut, "baalighul anni walau ayyah..sampaikan dariku walau sepotong ayat". Maka sekali lagi saya menyeru YB Exco supaya mengubah dasar warisan penjajah yang sudah lapuk ini dan membawa suatu dasar keterbukaan, yang bukan sahaja selaras dengan dasar Pakatan Rakyat, tetapi yang lebih penting ianya bersesuaian dengan nilai dan dasar Islam itu sendiri.
Wassalam.
Zulkifli Bin Noordin
Khamis
24 Zulqaedah 1430
12 Nov 2009
0 comments:
Post a Comment