Showing posts with label dr asri. Show all posts
Showing posts with label dr asri. Show all posts

Friday, 6 November 2009

Nizar News: Permohonan Maaf Secara Terbuka PGSM Ditunggu, Walau Tuduhan Telah Ditarik Balik

Bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin berkata Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM) telah memberi jaminan bertulis untuk memohon maaf secara terbuka dan menarik balik semua tuduhan terhadapnya.Katanya, jaminan bertulis itu ditandatangani dan diserahkan kepadanya oleh Presiden PGSM, Mohd Isa Abd Ralip selepas pertemuan dua jam di sebuah hotel di ibunegara petang semalam.

Dr Mohd Asri berkata, jaminan bertulis itu juga turut ditandatangani oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri yang bertanggungjawab bagi halehwal Islam, Datuk Mohamad Jamil Khir Baharum sebagai saksi.

Katanya, pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) Datuk Wan Mohamad Sheikh Abdul Aziz turut menghadiri pertemuan tersebut.

Menurutnya lagi, beliau akan menunggu PGSM memohon maaf secara terbuka kepadanya dengan disiarkan dalam lamanweb rasmi persatuan tersebut dan melalui saluran media yang lain.

Bercakap kepada pemberita selepas satu forum di Pulau Pinang malam tadi, Dr Mohd Asri berkata sekiranya persatuan tersebut memohon maaf dan menarik balik semua tuduhannya terhadapnya, maka beliau bersedia memaafkan mereka.

Ditanya sama ada beliau akan meneruskan tindakan menyaman PGSM jika persatuan itu gagal berbuat demikian, Dr Mohd Asi berkata beliau akan tunggu dan lihat apa pula alasan mereka, sebelum memutuskan tindakan selanjutnya.

Bagaimanapun, beliau percaya, PGSM akan mengotai jaminan bertulisnya untuk berbuat demikian.

Sebagai sebuah persatuan Islam yang mewakili peguam Islam, Dr Mohd Asri percaya PGSM akan mengotai janjinya.

Sebelum itu, PGSM telah menghantar memorandum - yang disokong oleh 13 NGO Islam - kepada Yang di-Pertuan Agong membantah cadangan pelantikan Dr Mohd Asri sebagai yang dipertua Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim).

Mereka membantah cadangan pelantikan Dr Mohd Asri ke jawatan tersebut atas alasan beliau telah menghina beberapa ulama Islam.

Berikutan itu, Asri telah menggesa persatuan tersebut mengemukakan bukti yang beliau telah menghina ulama besar Islam seperti Imam Nawawi, Imam Bukhari dan Imam Ghazali.

Dr Mohd Asri berkata, presiden PGSM telah menemuinya hari ini untuk mencari penyelesaian berhubung perkara tersebut.

Dalam pertemuan tersebut atas inisiatif menteri berkenaan, Dr Mohd Asri berkata, beliau menuntut permohonan maaf secara terbuka dan semua tuduhan terhadapnya ditarik balik.

Katanya, ini kerana semua tuduhan tersebut adalah tidak benar dan tidak masuk akal serta berunsur fitnah terhadapnya.

Sementara itu, katanya, Wan Sheikh pula menjelaskan kepadanya bahawa kenyataan seorang pegawainya, Zamihan Mat Zain, mempertikaikan ketulenan ijazah sarjana muda bekas mufti Perlis itu dari Universiti Jordan, bukanlah pandangan Jakim.

"Ketua pengarah Jakim itu memberitahu saya bahawa Zamihan bercakap atas kapasiti peribadinya," kata Dr Mohd Asri.

Read more...

Thursday, 5 November 2009

Nizar: JAIS Jadi Bahan Lawak Kerana Isu Tauliah: Jias Terus Dibidas

Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dibidas kerana menahan bekas Mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin atas kesalahan mengajar tanpa tauliah.

Zulkifli Noordin (PKR-Kulim Bandar Baru) berkata JAIS tidak seharusnya bertindak sedemikian terhadap seorang pendakwah yang dikenali ramai terutamanya Mohd Asri mempunyai rancangan khas di stesen televisyen Astro serta blog yang dilayari oleh jutaan masyarakat Islam di negara ini.

"Bagaimana dengan rancangan agama Dr Mohd Asri di Astro yang mempunyai rating penonton mencecah tiga juta. Adakah JAIS akan menyerbu Astro untuk menahannya dan bagaimana pula dengan blog beliau yang dilayari lebih sejuta orang," katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2010 di Dewan Rakyat di sini Rabu.

Beliau berkata pada zaman dahulu, sistem tauliah digunakan oleh penjajah untuk menghalang ulamak dan pendakwah menyebarkan ajaran agama bagi menyekat kebangkitan umat Islam.

Sementara itu, Taib Azamudden Md Taib (Pas-Baling) berkata sekiranya sistem tauliah ini diteruskan, setiap pendakwah di negara ini perlu mempunyai 14 tauliah untuk membolehkan mereka berceramah atau mengajar di setiap negeri di seluruh negara.

"Mana mungkin setiap negeri, kena ada satu tauliah. Kalau 14 negeri di Malaysia, seorang ustaz kena ada 14 buah tauliah.

"Undang-undang ini mungkin kita kena lihat balik. Mungkin kesesuaian itu ada satu ketika dulu, tapi sekarang kita dah merentasi batas itu di mana kita berada di dunia tanpa sempadan. Cara ini tidak praktik lagi," kata Zulkifli.

Beliau berkata sistem tauliah itu sebenarnya digunakan untuk menghalang atau menyekat mana-mana pihak daripada mengambil kesempatan menyebarkan atau menyeleweng ajaran atau fahaman Islam yang boleh memesongkan masyarakat daripada landasan sebenar.

"Tauliah itu bukan untuk menyekat apatah lagi orang itu yang kita dah kenal latar belakangnya dan kita tahu tempat pengajiannya," katanya.

Persidangan Dewan Rakyat disambung Khamis.

Read more...

Nizar: Masa Depan Pengarah JAIS Suram

Sekumpulan ahli parlimen Pakatan Rakyat merancang menyatakan bantahan berhubung tindakan pengarah Jabatan Agam Islam Selangor (Jais) dalam satu petisyen kepada Sultan Selangor.

Ahli parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin berkata kedudukan dan fungsi Datuk Mohammed Khusrin Munawi "jelas menjejaskan kedudukan baginda" selaku penaung perkembangan Islam.

Kandungan petisyen itu dan tarikh ia ingin dihantar tidak disebut tetapi difahamkan ia akan diserahkan "dalam tempoh terdekat."

Pemimpin PKR itu mengulas kenyataan pegawai tinggi itu dan operasi penangkapan Jais terhadap bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin hujung minggu lalu atas kesalahan kuliah tanpa tauliah.

Isnin lalu, Mohammed Khusrin juga mendakwa terdapat wakil rakyat yang cuba menghalang operasi pegawai penguatkuasa Jais sehingga mendorong jabatan itu meminta bantuan lebih ramai anggota polis.

Walaupun beliau tidak menyebut sebarang nama wakil rakyat, Zuraida dan seorang wakil rakyat PAS Saari Sungib dilaporkan berada di tempat kejadian di sebuah banglo di Hulu Kelang.

Zuraida dalam kenyataannya hari ini bagaimanapun menafikan beliau dan Saari menghalang tugas pegawai penguatkuasa Jais sewaktu cuba menahan Dr Mohd Asri.

Ketua Wanita PKR menjelaskan, beliau dan ADUN Hulu Kelang "cuba menenangkan keadaan kerana para jemaah (yang mendengar kuliah) ketika itu terkejut dengan serbuan yang dilakukan dengan kasar dan biadab" oleh seorang pegawai penguatkuasa jabatan agama itu.

"Untuk itu, saya menggesa pengarah Jais yang bertanggungjawab mengeluarkan kenyataan ini agar menarik balik dakwaan beliau," katanya.

Mengulas isu tauliah, Zuraida mempertikaikan tindakan Jais tersebut kerana melarang, termasuk kepada ahli akademik Universiti Islam Antarabangsa (UIA), menyampaikan kuliah agama.

"Di sini saya bertegas mendesak pengarah Jais menjelaskan apakah garis panduan yang diguna pakai oleh pihaknya untuk melayakkan seseorang itu boleh ditauliahkan untuk memberi kuliah di Selangor," katanya.

"Sehingga kini terdapat lebih kurang tujuh orang Ustaz yang di antaranya pensyarah UIA telah gagal mendapat tauliah untuk mengajar di Selangor tanpa alasan yang kukuh dan bertulis."

Dengan adanya garis panduan, tambah Zuraida lagi, Jais akan dapat membendung amalan "mengikut selera" pengarah Jais dan "memberi keadilan kepada cendekiawan seperti Dr Mohd Asri untuk menyampaikan ilmu."

Read more...

Wednesday, 4 November 2009

Nizar News: Zamihan Mat Zin: Mempertikai Titah Raja Perlis Kerana Melantik Dr Asri Jadi Mufti

Penolong pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Zamihan Mat Zin al-Ghari mendakwa wartawan akhbar Utusan Malaysia membuat kesimpulan yang salah terhadap kenyataannya berhubung status ijazah bekas mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin.

Katanya, beliau tidak pernah mengeluarkan kenyataan yang mendakwa bahawa Dr Mohd Asri mempunyai kelayakan palsu dalam bidang syariah dari Universiti Jordan.

Jelasnya, beliau hanya memberi kesimpulan bahawa Dr Mohd Asri bukan seorang ahli hukum dan tidak layak dilantik ke jawatan mufti.

Dr Mohd Asri hari ini dilaporkan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Zamihan berdasarkan kenyataannya yang dilaporkan dalam Utusan semalam.

"Kalau dia nak saman, samanlah Utusan, bukan saman saya," kata Zamihan ketika dihubungi Malaysiakini hari ini.

"Itu bukan tafsiran saya (kelayakan palsu), bukan dipetik daripada keterangan saya, sebaliknya (tafsiran) daripada wartawan (Utusan Malaysia)," jelasnya.

Menurut Zamihan, ketika dihubungi wartawan Utusan Isnin lalu, beliau tidak ditanya mengenai ijazah Dr Mohd Asri yang dipalsukan.

'Laporan salah'

"(Wartawan) bukan tanya palsukan kelulusan tapi dia tanya saya, status sebenar ijazah Dr Asri.

"Saya kata Dr Asri cuma ada ijazah sarjana muda bahasa Arab daripada fakulti sastera Universiti Jordan, bukannya mempelajari jurusan syariah dan pengajian Islam.

"Laporan daripada (akhbar Utusan) lah yang salah kerana dia kata saya dakwa dia palsukan Ijazah," jelasnya.

Katanya lagi, Dr Mohd Asri tidak mendasari ilmu di bidang syariah dan pengajian Islam kerana bekas mufti itu hanya seorang lulusan bahasa Arab.

"Dia bukan seorang ahli hukum, maksudnya bukan seorang yang mahir tentang al-Quran, hadis tafsir atau fekah.

"Beliau hanya belajar bahasa Arab, macam mana dia dapat menggali ilmu Islam, apatah lagi untuk berinteraksi secara mendalam tentang al-Quran dan hadis.

"Kalau ada (kelulusan) syariah dan pengajian Islam barulah layak dilantik ke jawatan mufti," katanya lagi.

Read more...

Nijar: Penahanan Dr Asri Bukan Semberono

Penahanan bekas Mufti Perlis, Dr. Mohd. Asri Zainul Abidin oleh Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) kelmarin bukan dibuat secara semberono atau mengikut telunjuk mana-mana pihak.

Sebaliknya Pengarah JAIS, Mohamed Khusrin Munawi menegaskan, tindakan itu diambil selepas Mohd. Asri berulang kali melanggar peraturan berkaitan aktiviti memberi ceramah agama di negeri ini.

Menurutnya, Mohd. Asri tahu tentang peraturan tersebut tetapi terus melakukan kesalahan itu. “JAIS pernah menghantar pekeliling kepada semua mufti negeri termasuk Mohd. Asri yang memberitahu tentang keperluan mendapat kebenaran dan pentauliahan jabatan itu untuk membolehkan mereka menyampaikan kuliah di Selangor.

Menurutnya, Mohd. Asri kerap kali memberi kuliah agama tanpa tauliah termasuk di Hulu Klang yang dibuat hampir setiap bulan begitu juga di Masjid Seksyen 14, Petaling Jaya. “Ini bermakna beliau tidak menghormati peraturan yang telah ditetapkan di negeri ini,” ujarnya.

Katanya, penahanan terhadap Mohd. Asri pada malam itu dibuat selepas mesyuarat JAIS dengan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dilakukan.

Dalam pada itu, Mohamed Khusrin memberitahu, keputusan sama ada bekas Mufti Perlis tersebut bakal didakwa atau sebaliknya hanya akan diputuskan oleh Bahagian Pendakwaan JAIS sebelum penghujung bulan ini.

Katanya, pada masa ini pihaknya sedang menyiapkan kertas siasatan kes Mohd. Asri yang ditahan mengikut Seksyen 119 Enakmen Pentadbiran Islam Selangor. “Sebaik sahaja kertas siasatan kes Mohd. Asri siap, kita akan serahkan kepada Bahagian Pendakwaan. Selepas itu terpulang kepada mereka untuk membuat keputusan,” jelasnya.

Mohd. Asri ditahan oleh pasukan penguat kuasa JAIS malam Isnin kerana menyampaikan kuliah agama tanpa tauliah di sebuah banglo di Taman Sri Ukay, Hulu Klang.

Turut hadir pada majlis kuliah itu ialah Ahli Parlimen Ampang, Zuraidah Kamaruddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri Hulu Klang, Saari Sungib.

Ditanya mengapa Mohd. Asri tidak didakwa semalam, Mohamed Khusrin berkata, bekas mufti itu ditahan bukan untuk didakwa tetapi bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan terhadapnya kerana menyampaikan kuliah tanpa tauliah.

“Macam polis menangkap penjenayah, kena dapat perintah reman dulu dan bila sudah siap kertas siasatan baru pendakwaan dibuat. “Cuma bezanya kita tidak dapatkan waran tahanan terhadap Mohd. Asri kerana kita telah bebaskan dia dengan bon jaminan JAIS,” jelasnya.

Read more...

Tuesday, 3 November 2009

Nizar News: Jais Kena Jawab Cara Solat Di Mekah

Datuk Seri Najib Razak hari ini mempersoal motif penahanan bekas mufti Perlis Dr Mohd Asri Zainul Abidin oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) tengah malam tadi kerana disyaki mengajar tanpa tauliah.

Perdana menteri berkata ramai lagi individu yang berceramah namun tidak ditahan serta didakwa.

"Saya tidak tahu apa motifnya. Tindakan ini (penahanan Dr Mohd Asri) dibuat oleh (jabatan agama) kerajaan negeri (Selangor). Ia tiada kena-mengena dengan kerajaan pusat.

"Saya tahu banyak lagi orang yang buat macam-macam ceramah, tak didakwa pula, tetapi bila Dr Mohd Asri (berceramah), dia ditahan?" katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Pasar Tani Peringkat Kebangsaan 2009 dan pelancaran Karavan Pasar Tani di PWTC di Kuala Lumpur.

Najib diminta mengulas penahanan Dr Mohd Asri oleh Jais di sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang, ketika memberikan ceramah kepada lebih 100 orang.

Perdana menteri berkata Dr Mohd Asri merupakan seorang pendakwah yang bercakap secara terus-terang dalam ceramahnya dan disokong dengan dalil serta nas-nas yang nyata serta konkrit.

Mengenai dakwaan kononnya bekas mufti itu ditahan kerana dikaitkan dengan fahaman Wahabi, Najib berkata beliau tidak tahu mengenai perkara tersebut.

"Kena tanya mereka (Jais)," katanya.

Jais dipercayai menyiasat kegiatan Dr Mohd Asri sejak beberapa bulan lepas kerana didakwa cuba menghidupkan fahaman yang berlawanan dengan amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah dalam kelompok tertentu terutama kumpulan elit dan pelajar institusi pengajian tinggi di sekitar Selangor.

Antara ajaran fahaman Wahabi ialah tidak mengamalkan bacaan doa qunut dan Yaasiin, tidak mengadakan tahlil dan tidak berzikir selepas solat seperti amalan Ahli Sunnah Wal Jamaah.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi Datuk Saifuddin Abdullah pula meminta Jais supaya segera memberikan penjelasan mengenai penahanan Dr Mohd Asri kerana tindakan jabatan itu akan menimbukan kekeliruan dalam kalangan umat Islam memandangkan bekas mufti itu diketahui tidak memihak kepada mana-mana parti dan sering memberi syarahan agama yang turut dihadiri menteri selain diundang berceramah di televisyen.

Bercakap kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini, beliau ingin tahu tauliah macam mana lagi yang Jais hendak kerana Dr Mohd Asri mempunyai ijazah doktor falsafah (PhD) dalam pengajian Islam dan juga merupakan bekas mufti.

"Kita tidak boleh menolak fahaman itu (Wahabi). Bagaimana kita hendak solat di Mekah jika kita menolak Wahabi," katanya. BERNAMA

Read more...

Nijar News: Dr Asri: Saya Bukan Wahabi dan Tak Tahu Apa Itu Wahabi!!

Isu penahanan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin pada Ahad lalu masih rancak diperkatakan.

Beliau dituduh atas kesalahan mengajar agama tanpa tauliah oleh pihak JAIS dan ditahan pada pukul 9 malam oleh sekumpulan anggota JAIS di sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang ketika memberikan ceramah kepada lebih 300 pengikut.

Selain tuduhan kesalahan mengajar agama tanpa tauliah, antara isu lain yang berbangkit ekoran penahanan itu adalah isu penyebaran ajaran Wahabi.

Dr Asri kononnya dituduh membawa ajaran Wahabi oleh beberapa pertubuhan Islam hinggakan perkara ini terkandung di dalam salah satu bahagian dalam Memorandum Fitnah yang diusulkan oleh Persatuan Peguam Syarie Malaysia kepada Agung.

Namun, ketika diajukan perkara ini, Dr Asri sendiri berasa hairan dan ingin bertanya kepada mereka-mereka yang membuat tuduhan yang dia Wahabi.... apa itu Wahabi? "Saya bukan Wahabi dan saya tak tahu apa itu Wahabi.

Tolong bagi saya definisi Wahabi. Kalau orang tak baca doa qunut itu, JAIS katakan Wahabi, kenapa tak larang masjid-masjid India kerana setahu saya mereka tak baca doa qunut.

"Hanya kerana seseorang itu tak baca doa qunut, orang itu terus dicap Wahabi dan majoriti dari Mazhab-mazhab tak baca doa qunut, adakah mereka juga Wahabi.

"Dan saya nak tanya, sekiranya seseorang itu Wahabi, adakah itu membolehkan pihak JAIS dan polis membuat serbuan begitu rupa. Kenapa tak tangkap orang yang tak sembahyang, itupun agama tak suruh berbuat demikian," katanya sambil melahirkan rasa kemusykilannya tentang tindakan JAIS yang menahannya Ahad malam.

"Lagipun bila masa yang orang JAIS ikut saya sembahyang subuh sampai tahu saya tak baca doa qunut. Saya betul-betul hairan...," kata Dr Asri.

Ditanya bagaimana perasaannya sekarang, hingga isu penahanannya mendapat liputan nasional dan meluas, Dr Asri berkata, dia tidak sangka fitnah yang datang akan menjadi seteruk ini.

"Memanglah saya tahu....kalau takut dilambung ombak, jangan berumah di tepi pantai tapi saya tak dapat bayangkan orang-orang yang melakukan ini adalah orang-orang agama dan duduk di institusi negara. "Dan saya melihat sendiri sikap-sikap seperti ini di depan mata," kata Dr Asri.


Dalam satu sidang media semalam, pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Mohammed Khusrin Munawi ada menyatakan jabatan itu akan mengambil tindakan mendakwa Dr Asri setelah selesai menjalankan siasatan berhubung kesalahan mengajar agama tanpa tauliah. Dan dakwaan ke atas Dr Asri kemungkinan besar akan dilakukan pada Isnin depan.

"Itu media yang tulis. Saya belum diberitahu apa-apa pun," kata tokoh agama yang menulis di dalam kolum di akhbar Mingguan Malaysia.

Menurut Khusrin, Dr Asri akan didakwa di bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam Negeri Selangor 2003, Seksyen 119 (1) yang menyebut mana-mana orang yang mengajar agama Islam atau perkara-perkara tentang agama Islam di negeri itu perlu mendapatkan tauliah daripada JAIS.

Sesiapa yang didapati gagal mendapatkan tauliah daripada JAIS jika disabitkan kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM3,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi dua tahun atau kedua-duanya sekali.

Read more...

Monday, 2 November 2009

Nizar: Dr Asri Bagaikan PENJENYAH: Tindakan JAIS Melampau

Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) tengah malam tadi kerana dipercayai mengajar ilmu agama tanpa tauliah dibebaskan dengan jaminan polis kira-kira pukul 1.10 pagi tadi.

Bagaimanapun beliau dikehendaki hadir ke Pejabat Agama Islam Daerah Gombak pada pukul 9 pagi esok untuk merakamkan keterangan.

Sementara itu dalam sidang media selepas dibebaskan, Dr Asri bagaimanapun menolak sebab penahanannya ialah atas dakwaan beliau merupakan pengikut Wahabi. "Dia (anggota JAIS) tak sebut pun perkara itu (Wahabi) kepada saya, dia kata saya mengajar tanpa tauliah, dia tak kata isu itu. "Isu yang dia kata ialah kerana saya tidak ada tauliah... itu sahaja," katanya.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 9 malam apabila sekumpulan anggota JAIS memasuki sebuah banglo milik seorang ahli perniagaan di Taman Sri Ukay, Hulu Klang ketika Mohd Asri memberikan ceramah kepada lebih 300 pengikut.

Bagaimanapun suasana menjadi kecoh apabila sekumpulan lelaki yang berada di dalam banglo berkenaan cuba menghalang penguat kuasa JAIS untuk menahan Mohd Asri.

Pihak polis yang memantau operasi berkenaan hanya menjadi perantara kerana tidak mempunyai waran tangkap.

Turut sama berada dalam banglo berkenaan yang juga sedang mengikuti ceramah oleh Mohd Asri ialah Ahli Parlimen Ampang, Zuraida Kamaruddin dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Hulu Klang, Saari Sungib.

Mengulas mengenai kejadian tersebut, Mohd Asri menganggap penangkapannya itu telah dirancang sejak awal. "Saya menganggap ini adalah usaha tangkapan terpilih kerana mereka memang target saya, ini (tangkapan) yang bertujuan kerana saya percaya ditempat lain juga pasti ada perhimpunan atau majlis-majlis yang sama seperti ini. "Tapi oleh kerana mereka tahu di sini saya berhimpun, lalu mereka membuat operasi di sini," katanya.

Dalam pada itu beliau turut kesal dengan tindakan anggota JAIS sewaktu menguruskan operasi berkenaan. "Tindakan JAIS tak serasi, bukan saya nak suruh mereka hormat saya, tapi sekurang-kurangnya mereka juga tahu saya bekas Mufti kerana negeri Perlis," katanya.

Diminta mengulas mengenai tauliah yang dikeluarkan oleh JAIS kepada guru agama yang ingin mengajar di Selangor, Mohd Asri berkata: "Saya ingin beritahu, JAIS ni, ketika saya menjadi mufti Perlis, mereka mengatakan semua mufti boleh mengajar di Selangor melainkan Mufti Perlis. "Bayangkan kalau mereka tanya saya mengapa tak pohon tauliah... ketika saya ada jawatan mufti pun mereka mengecualikan saya daripada memiliki ruang bercakap dalam negeri Selangor

." Sementara itu Ketua Polis Daerah Ampang, ACP Abdul Jalil Hassan ketika dihubungi Bernama berkata polis hanya membantu JAIS dalam operasi itu dan beliau tidak mempunyai maklumat lanjut berhubung penahanan bekas mufti Perlis itu.

Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP