Showing posts with label politik. Show all posts
Showing posts with label politik. Show all posts

Monday, 5 October 2009

Nizar-Anwar-Nik Aziz Baca Betul-betul: Kamu Kata Pakatan Ikatan Kukuh

Selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada Mac 2008, PAS diuji dengan perbezaan ide berhubung usaha menubuhkan Unity Government (UG) yang diperlihatkan melalui pergeseran melibatkan kumpulan diketuai "golongan profesional" dalam PAS dengan "ulama" parti.

Kali ini, di negeri Selangor, PAS sekali lagi berdepan cabaran akibat perbezaan pendapat. PAS negeri Selangor menjadi tumpuan ekoran pergeseran dalaman berhubung jawatankuasa pilihan khas mengenai keupayaan, kebertanggungjawaban, dan ketelusan (Selcat) yang dikritik Datuk Dr Hassan Ali, exco kerajaan negeri yang juga Pesuruhjaya PAS Selangor.

Kritikan Hassan mengundang kecaman keras beberapa pemimpin PAS dan Pakatan Rakyat lain, sehingga kedudukan Hassan sebagai exco negeri Selangor dan ahli Pakatan Rakyat juga dipersoalkan oleh beberapa wakil DAP.

Perbezaan pandangan ini walau bagaimanapun telah cuba diselesaikan melalui enam ketetapan yang dikeluarkan PAS Selangor, menegaskan sokongan kepada Hassan sebagai pesuruhjaya negeri dan ahli exco dan memperakukan cadangannya supaya penambahbaikan Selcat dilaksanakan.

Pendirian rasmi PAS Selangor ini merupakan langkah untuk memulihkan ketegangan akibat daripada respons kepada kenyataan Hassan mengkritik Selcat seperti yang dilaporkan media.

Ketetapan itu menegaskan sekali lagi keperluan menambahbaik Selcat dan menegaskan PAS kekal dalam Pakatan, isu yang telah menjadi semakin kompleks akibat kenyataan-kenyataan kecaman terhadap Hassan dan PAS Selangor sehingga menenggelamkan isu sebenar yang ditimbulkan Hassan - penambahbaikan Selcat.

Baru-baru ini, Setiausaha Agung Datuk Mustafa Ali pula menggesa semua pihak dalam Pakatan Rakyat tidak membuat kenyataan terhadap satu sama lain secara terbuka dan menyelesaikan pertikaian di peringkat dalaman. "Saya minta semua pihak sama ada PAS atau sesiapa sahaja, kita ada mekanisme untuk selesaikan masalah. Jangan buat kenyataan terbuka tentang satu sama lain. Apa pun boleh dibincangkan secara dalaman," kata Mustafa.

Kenyataan-kenyataan terbukalah yang mengeruhkan lagi keadaan dan merumitkan keadaan, seperti kenyataan wakil-wakil DAP dan kenyataan meminta Hassan meletak jawatan exco dan keluar daripada Pakatan.

Hassan dikecam pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat yang melihat kritikan itu sebagai kritikan terhadap kerajaan Pakatan Rakyat negeri Selangor, yang Hassan menganggotainya sebagai ahli exco.

Hassan dalam kenyataannya memberikan cadangan "agar segera diadakan petemuan antara menteri besar dan ahli-ahli exco dengan Selcat bagi membincangkan segala pandangan, hujah dan dakwaan terhadap para pegawai kanan kerajaan negeri yang telah dipanggil Selcat." "Selepas itu perlu disusuli dengan rundingan tiga penjuru antara menteri besar dan ahli-ahli exco serta Selcat dan pegawai-pegawai kanan kerajaan yang terbabit demi menjernihkan suasana," jelasnya.

Kecaman terhadap Hassan itu berlarutan dan memberi fokus kepada kedudukan beliau dan PAS dalam kerajaan Pakatan Selangor, walaupun isu utamanya ialah tindakan-tindakan Selcat yang didakwa memalukan beberapa orang penjawat awam.

Dalam PAS sendiri, perbezaan pendapat ini dapat dilihat melalui kenyataan-kenyataan beberapa tokoh utama Selangor, Khalid Samad, ketua penerangan Roslan Shahir Mohd Shahir dan Dr Dzulkifly Ahmad.

Roslan dalam blognya di n32.blogspot.com menerangkan pendirian pesuruh jaya negeri Selangor itu, yang ditegaskan bukan bertujuan menentang kerajaan negeri Selangor. "Membuat teguran terhadap Selcat bukan bermakna menentang kerajaan.

Isu ini bukan perkara baru malah pernah dibincangkan diperingkat Majlis Pakatan Rakyat Negeri Selangor, dan saya berani menyatakan yang Dr Hasan serta PAS Selangor bukan keseorangan dalam hal ini," tulis Roslan dalam blognya.

Dalam satu kenyataannya kepada Harakahdaily, Roslan berkata dasar PAS Selangor ialah menyokong penubuhan Selcat, tetapi mahukan penambahbaikan supaya jawatankuasa itu lebih berwibawa. "Dr Hassan Ali menyokong penubuhan Selcat di dalam dewan.Kenyataan-kenyataan beliau hanya teguran untuk menambahbaik jawatankuasa itu," katanya.

Khalid Samad, ahli Parlimen Shah Alam pula mengaitkan kritikan Hassan sebagai memperlihatkan imej buruk PAS sebagai ahli Pakatan dan imej lemah Pakatan Rakyat yang didakwa membantu Barisan Nasional. "PR kelihatan sebagai sebuah kerjasama dan gabungan yang rapuh, lemah dan tidak kukuh. Ia dilihat sentiasa bertelagah satu sama lain walaupun telah bersama selama lebih dari setahun.

Imej lemah sebegini memang diusahakan oleh BN dan dengan tindakannya itu, beliau telah pun secara tidak langsung membantu BN dalam usaha mereka untuk memperlekehkan PR," tulis Khalid dalam blognya, khalidsamad.com. "PAS pula dilihat sebagai parti yang bersifat talam dua muka atau gunting dalam lipatan.

Duduk bersama Exco membincang segala pendekatan tetapi menempelak kerajaan PR pada setiap peluang yang diperolehinya," jelasnya.

Kritikan Khalid ini juga mengaitkan isu kedudukan PAS dalam Pakatan dan tidak menyentuh isu berhubung penambahbaikan Selcat yang disebut Hassan dan menjadi ketetapan PAS Selangor.

Khalid pula dikritik dalam PAS Selangor kerana tidak bersuara ketika Azmin Ali mengkritik kerajaan negeri Selangor sehingga menggesa rombakan exco tetapi bersuara lantang ketika pesuruhjaya negerinya mengkritik satu bahagian dalam kerajaan negeri.

Ada pihak dalam PAS Selangor pula melihat Khalid dan wakil-wakil Pakatan Rakyat tidak bersikap adil kerana hanya mengkritik PAS sedangkan sejak selepas pilihan raya umum 2008, tidak ada wakil PAS terlibat dalam lompat parti seperti dilakukan beberapa orang wakil PKR dan DAP.

Afyan Mat Rawi, Ketua Penerangan Pemuda PAS Gombak dalam satu tulisannya di laman organisasi itu menimbulkan pertanyaan mengapa "apabila sedikit teguran daripada PAS kepada kerajaan PR, ada yang melenting tidak tentu hala. Kemudian akan dibidas, 'mengapa tidak dibawa berbincang di dalam mesyuarat Pakatan Rakyat?'" "Namun, tindak-tanduk rakan-rakan PR yang lain, adakah 'dibawa berbincang dalam mesyuarat Pakatan rakyat?'

Exco DAP mengarahkan memulangkan arak, adakah 'dibawa berbincang dalam mesyuarat Pakatan rakyat?' Tidak!" "MP dan Adun PKR meletak jawatan, adakah 'dibawa berbincang di dalam mesyuarat Pakatan Rakyat?' Tidak!," jelasnya.

Pengkritik-pengkritik Hassan telah merumitkan keadaan dengan secara terbuka menimbulkan isu kedudukan PAS dalam Pakatan dan memberi tumpuan pada Hassan yang dituduh mewakili kepentingan Umno, menjadikan debat terbuka berhubung kritikan kepada Selcat ini semakin kompleks dan membawa masalah kepada PAS, sedangkan isu berhubung Selcat masih tidak dijawab.

Read more...

Thursday, 1 October 2009

Nizar: Mahathirpun Tak Mau Samy Vellu; Peluang MIC Keluar BN

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan penubuhan parti Makkal Sakhti sebagai satu langkah yang baik memandangkan banyaknya sokongan bagi penubuhan parti baru itu.

Beliau berkata penubuhannya juga perlu sebagai langkah mengekalkan sokongan kaum India terhadap kerajaan.

"Oleh kerana dilihat terdapat banyak sokongan bagi penubuhan parti ini, saya fikir ia adalah baik kerana kita (kerajaan) tidak mahu kehilangan sokongan kaum India," katanya kepada pemberita pada majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di kediamannya di ibunegara hari ini, lapor Bernama.

Parti Makkal Sakti Malaysia ditubuhkan oleh bekas pemimpin Hindraf yang telah diharamkan tahun lalu.

Parti itu diumumkan penubuhannya Mei lalu, diterajui bekas penyelaras kebangsaan Hindraf R S Thanenthiran.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dijadualkan melancarkan Parti Makkal Sakti Malaysia - parti terbaru kaum India negara ini - pada 10 Oktober ini di Taman Pameran Pertanian Malaysia, Serdang.

Ditanya sama ada penubuhan parti itu akan memberikan kesan terhadap pengaruh MIC selaku parti utama kaum India di negara ini, Dr Mahathir berkata,:"Saya fikir pengaruh MIC sudah semakin luntur".

Dalam pada itu ketika ditanya mengenai cadangan Presiden MIC Datuk Seri S Samy Vellu untuk bercuti selama dua bulan daripada melaksanakan tugas-tugas sebagai Presiden parti, Dr Mahathir berkata tempoh itu tidak mencukupi.

"Ia patut dilanjutkan kepada kira-kira 20 tahun, dua bulan tidak cukup.

"Dia tidak boleh...dia sudah duduk di situ (jadi presiden MIC) 30 tahun, jauh lebih lama dari saya. Saya 22 tahun pun sanggup letak jawatan (sedangkan) masa saya letak jawatan bukanlah orang benci sangat tapi saya letak jawatan. Selagi dia duduk di situ lagi lama, lagi orang benci," katanya.

Terdahulu Dr Mahathir yang ditemani isteri Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali dilihat setia menanti kunjungan tetamu yang hadir dan berdiri hampir tiga jam serta menyambut ketibaan Najib dan isteri Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib yang tiba di kediaman Dr Mahathir kira-kira jam 12 tengah hari, meluangkan masa untuk beramah mesra dan menjamu selera sebelum meninggalkan majlis kira-kira 45 minit kemudian.

Antara kenamaan lain yang turut dilihat memeriahkan majlis termasuk Menteri Penerangan Komunikasi dan Kebudayaan Datuk Seri Dr Rais Yatim dan isteri Datin Seri Masnah Rais, Menteri Pelancongan Datuk Seri Dr Ng Yen Yen, Menteri Besar
Melaka Datuk Seri Mohd Ali Rustam, Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Paduka Rohani Karim dan Timbalan Menteri Tenaga, Teknologi Hijau dan Air Noriah Kasnon.

Read more...

Wednesday, 30 September 2009

Pakatan Kian Retak: PKR bertelega dengan DAP

Pemuda Sosialis DAP (DAPSY) Pulau Pinang hari ini membidas Ketua Pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pulau Pinang, Mohd. Yusmadi Mohd. Yusuff yang mencadangkan agar jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang disandang secara giliran antara tiga parti yang kini menguasai negeri itu.

"Ini merupakan satu formula berbaur perkauman ciptaan Mohd. Yusmadi sendiri yang asyik gilakan kuasa sahaja," kata Setiausaha DAPSY Pulau Pinang, Ng Wei Aik dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau mengulas cadangan Mohd. Yusmadi supaya jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang digilirkan berdasarkan formula baru yang memberi peluang kepada semua kaum untuk menjadi pemimpin.

Mohd. Yusmadi, yang juga Ahli Parlimen Balik Pulau dilaporkan berkata, formula politik baru itu bagi menggantikan formula Barisan Nasional yang memberi jawatan Ketua Menteri hanya kepada kaum Cina dan Timbalan Ketua Menteri kepada wakili Melayu. Wei Aik berkata, tiada formula baru yang telah dipersetujui oleh pakatan DAP, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pas yang kini memerintah Pulau Pinang berhubung sistem penggiliran itu.

Beliau berkata, buat masa ini, DAPSY berpendirian bahawa belum sampai masa dan tidak perlu jawatan Ketua Menteri itu digilirkan. Katanya, DAPSY mempertahankan jawatan Ketua Menteri supaya tidak digilirkan atas alasan bahawa sebarang pelantikan untuk jawatan itu mestilah diputuskan oleh parti yang menguasai majoriti kerusi Dewan Undangan Negeri dan bukan atas alasan kaum Cina adalah majoriti di negeri itu.

"Saya ingin tegaskan bahawa formula baru yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Negeri Pulau Pinang adalah memberi layanan adil serta bantuan saksama kepada semua rakyat tanpa mengambil kira perbezaan kaum, agama, jantina dan latar belakang politik. "Ini jauh lebih adil serta disambut baik oleh rakyat jelata daripada formula ciptaan Mohd. Yusmadi itu," kata Wei Aik yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri. - Bernama

Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP