Monday, 23 November 2009

Hanya Seminggu Selesai Krisis MCA: Muhyiddin

Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini memberikan dirinya tempoh seminggu untuk menyelesaikan krisis kepimpinan dalam MCA.

Menurut beliau satu formula akan dirangka dalam tempoh tersebut untuk mendapatkan kata sepakat di kalangan pemimpin parti itu yang sedang bertelagah. Muhyiddin memberitahu pemberita demikian selepas merasmikan pusat perkhidmatan global Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) Cyberjaya hari ini.

Beliau membuat kenyataan tersebut seminggu sebelum kumpulan Datuk Seri Liow Tiong Lai bercadang mengadakan mesyuarat agung luar biasa (EGM) Sabtu depan.

Mereka hanya bersetuju untuk membatalkan EGM itu sekiranya Presiden Datuk Seri Ong Tee Keat dan Timbalannya, Datuk Seri Dr Chua Soi lek, bersetuju mengadakan pemilihan baru parti bulan depan.

Walaupun mengakui bahawa pemilihan baru mungkin dapat menyelesaikan kemelut sekirang, tetapi Dr Chua mahu ia diadakan Mac tahun depan manakala Ong masih kabur mengenainya. Jumaat lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak telah mengadakan pertemuan secara berasingan dengan pemimpin-pemimpin utama MCA yang berkrisis.

Dalam pertemuan tersebut, Najib dilaporkan berkata beliau telah mencadangkan formula bagi menyelesaikan krisis MCA.

Berikutan itu, Najib telah meminta Muhyiddin yang juga timbalan pengerusi BN, untuk meneruskan perbincangan dengan pemimpin MCA berdasarkan formula yang beliau berikan itu. Sementara itu, Bernama memetik Muhyiddin berkata, beberapa siri perjumpaan pada dasarnya telah dilakukan dengan beberapa pemimpin parti itu untuk berbincang secara lebih terperinci mengenai krisis berkenaan.

"Tugas ini bukan suatu yang mudah kerana ia melibatkan kepentingan parti dan kepentingan negara," katanya.

Katanya beliau telah diberi mandat oleh perdana menteri untuk menangani masalah dengan melaksanakan langkah-langkah pro-aktif sesegera mungkin sebelum krisis itu berlarutan dan menjadi lebih buruk."Saya telah laksanakan beberapa siri perbincangan, bukan dengan semua, tetapi beberapa individu tertentu dan saya akan teruskan, kalau boleh sebelum perdana menteri pulang.

"Pada masa yang sama, saya akan turut menerima sebarang cadangan dari pemimpin komuniti Cina yang turut melahirkan pendapat dan perhatian mereka berhubung krisis itu," katanya.

Kemelut ini jelas beliau, harus ditangani sebaik mungkin hingga membawa kepada kewujudan situasi 'menang-menang' antara pihak terlibat.

Mengenai langkah yang akan diambil, Muhyiddin berkata, beliau tidak berhasrat untuk mendedahkan sebarang syarat atau strategi tertentu sehingga formula penyelesaian berjaya
dihasilkan.

"Pada peringkat awal ini, kita tidak akan tentukan apa perkara. Saya fikir yang penting mereka berpendapat bahawa ini adalah satu langkah untuk menyelesaikan masalah ini dan saya fikir, ia sudah menjadi rahsia awam, bukan rahsia parti sahaja, semua orang dah tahu," tambahnya.

"Yang penting saya di peringkat ini tidak akan tentukan apa syarat-syaratnya, yang pasti bila dah sampai pada satu peringkat ada persetujuan pada soal prinsip, maka kita mahu mereka pegang pada keputusan itu atas tujuan nak cari jalan penyelesaian," katanya.

Muhyiddin berkata perkara itu tidak akan diumumkan kepada orang awam termasuk media selagi matlamatnya masih belum tercapai.

"Pada peringkat ini okey sebab ia masih di permulaan tapi langkah selanjutnya akan diberitahu apabila semua pihak telah bersepakat untuk menentukan langkah yang perlu dibuat," katanya.

Ditanya mengenai saranan Najib agar pemilihan baru dibuat oleh MCA untuk menyelesaikan konflik itu, katanya itu adalah pandangan perdana menteri yang sedang beliau usahakan.

"Saya diberikan arahan untuk gunakan pendekatan ini, tapi bagaimana nak dapatkan kata sepakat pemimpin-pemimpin MCA akan saya usahakan. Masa agak terbatas dan seberapa cepat lebih baik kerana kalau ia berlarutan untuk beberapa bulan lagi, keadaan akan menjadi tambah kalut sekaligus menjejaskan MCA dan BN sendiri," katanya.

Muhyiddin berkata, adalah tidak adil untuk beliau menetapkan sebarang keputusan bagi pihak pemimpin MCA memandangkan adalah menjadi hak mereka untuk menetapkan langkah terbaik bagi parti itu.

"Saya fikir biar saya berhubung dan berbincang dengan mereka. Tak adil saya buat pengumuman kerana ini bukan hak saya, tapi hak mereka. Ini melibatkan kepentingan bersama semua pihak, justeru ia perlu dicapai bukan atas desakan, tapi kata sepakat," katanya.

Sementara itu, ketika mengulas laporan akhbar bahawa exco kerajaan negeri Kelantan, Datuk Husam Musa akan meletak jawatan, beliau berkata itu adalah bukti jelas bahawa krisis kepimpinan yang melanda parti pembangkang termasuk PAS semakin tenat.

Di KOTA BHARU hari ini, Husam yang juga Timbalan Pesuruhjaya Dua PAS Kelantan menafikan laporan bahawa beliau akan meletakkan jawatan dalam parti dan kerajaan.

Malah katanya beliau akan meneruskan perjuangannya kepada parti dan negeri.

Read more...

Sunday, 22 November 2009

Ramalan Politik Kota Belud Ambang Pru-13

Kaum samar akan diwakili Datuk Musbah bagi kawasan DUN Tempasuk. Bagi Kawasan Usukan akan juga diwakili kaum samar, manakala MP Kota Belud oleh kaum campuran (Bajau plus banjar).

Kedamaian oleh kaum KDM. Kaum Irranun.. belum ada..

Pola Pengundian

Tempasuk Datuk Musbah akan menang tipis.. kerana undi KDM tidak ikut pola PRU-12. Manakala Irranun tetap sama, Samar: 50:50

Usukan .. belum ada calon menonjol melawan BN..BN menang mutlak.

MP.. BN Menang Mutlak


Read more...

Saturday, 21 November 2009

Postmortem Ke-2 Rungkai Kematian Misteri Teoh Beng Hock

Mendiang Teoh Beng Hock hari ini digali semula dengan selamat setelah lebih 4 bulan dikebumikan di Taman Peringatan Nirvana, Semenyih pagi tadi.

Misteri kematian Teoh bakal dirungkai tidak lama lagi apabila operasi bedah siasat kedua dijangka bermula esok hari kira-kira jam 9.30 pagi di Hospital Sungai Buloh.

Satu upacara keagamaan diadakan terlebih dahulu seawal jam 9.00 pagi sebelum berjaya dikeluarkan selepas 2 jam penggalian.

Pihak keluarga memohon para hadirin dan wakil media memakai pakaian gelap sepanjang upacara.

Sebaik sahaja mayat Teoh berjaya dikeluarkan, wakil keluarga, forensik, polis dan pakar patologi membuat pengecaman mayat terlebih dahulu sebelum dibawa keluar ke Hospital Sungai Buloh.

“The body of Teoh Beng Hock was safely assume this morning, the process took about 2 hours. So far as i’ve been ask whether not the condition of the body is good as far as I can tell, im a lawyer, it look that it like was very good condition”, kata Gobind Singh Deo. Peguam Gobind Singh Deoh berkata demikian selepas upacara selesai diadakan. Upacara penggalian dibuat secara tertutup.

Kawasan dilitupi kain putih setinggi 3 meter menghalang pihak media daripada membuat liputan.

Bagaimanapun setelah selesainya upacara tersebut, hanya kelibat keranda Teoh sahaja kelihatan dengan dibaluti pembalut plastik lut sinar dan ditandai bagi melindungi bukti mahkamah daripada dicemari. Hadir sama Exco Selangor, Ean Yong Hian Wah, Ronnie Liu dan Penasihat DAP, Lim Kit Siang.

Sementara itu, Gobind menambah kehadiran pakar patologis antarabangsa Dr Pornthip Rojanasunand pada upacara pagi tadi amat penting bagi memantau proses penggalian semula mayat Teoh sebelum dibawa keluar ke Hospital Sg. Buloh.

Di samping itu, Gobind turut dimaklumkan bahawa pihak hospital dijangka membuat pengimbasan x-ray dan CAT Scan terhadap mayat Teoh sebaik sahaja tiba di hospital hari ini.

“The Sg Buloh has inform us that they will conduct x-ray and also citi scan today, so we will be on in hospital later on, we will have representative of ours in all the time. We just want to have second x-ray done just to look again the injuries in point of brackage bones and fractures and things like that and those important areas we should look as well, I think they have to do second post mortem which is complete, maknanya they have to do hole thing”, jelas Gobind.

Kata Gobind lagi, sepasukan doktor pakar patologi dari Jabatan Forensik, Hospital Sg Buloh yang diketuai oleh Dr Shahidan dijangka melakukan bedah siasat esok.

Gobind bagaimanapun kecewa apabila pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia gagal menghantar sama ada wakil mahupun pakar pada upacara tersebut. Jelasnya, kehadiran mereka penting bagi mengelak tanggapan negatif daripada masyarakat.

“Sangat berat hati tapi kena buatlah untuk cari kebenaran. Harap bedah siasat kali ini kebenaran akan terdedah. Saya harap pada semua pakar patologi lebih profesional, boleh diharapkan, dan berpengalaman bagi mencari kebenaran dan sepertimana yang saya tahu tanggungjawab patologi ini adalah untuk mencari kebenaran dan saya bercakap bagi pihak mendiang, jadi saya berharap semua patologi bersikap seperti ini”, jelas Teoh Lee Lan, adik mendiang ketika diminta mengulas operasi penggalian semula kubur dan bedah siasat semula ke atas Teoh Beng Hock.

“I hope the that latest further autopsy and find out the truth of the mysterious death Teoh Beng Hock and those responsible to be caught for the justice”, kata Penasihat DAP, Lim Kit Siang kepada pemberita.

“Bagi pihak kerajaan negeri, kita mengucapkan terima kasih hari ni ramai penyokong-penyokong datang, untuk memastikan proses hari ni adalah baik dan tiada hal, kita memang mengharapkan autopsy yang kedua ni dapat mengenalpastikan siapa yang mendiang kerana kita tidak boleh menghadapi kes seumpama Teoh Beng Hock”, kata Exco Selangor, Ronnie Liu yang ditemui pada upacara pagi tadi.

Read more...

Friday, 20 November 2009

Kematian Altantuya: Bala Kaitkan Adik Najib

Penyiasat persendirian P Balasubramaniam menyebut nama adik perdana menteri dengan tindakannya menarik balik akuan bersumpah mengaitkan Datuk Seri Najib Razak dengan kes Altantuya Shaariibuu.

Pendedahan nama Datuk Mohamed Nazim Razak dibuat dalam bahagian akhir wawancara bekas anggota polis Cawangan Khas itu - yang pernah bertugas dengan Abdul Razak Abdullah Baginda, kenalan rapat Najib - dalam laman web Malaysia Today hari ini.

Sebelumnya, dalam empat bahagian awal tembual tersebut, Balasubramaniam hanya menyebut adik perdana menteri dengan gelaran "seorang Datuk VIP" yang ditemui di The Curve, Damansara pada malam selepas membuat pendedahan menggemparkan itu.

"Beliau di sana bersama isterinya yang sedang sarat mengandung. Walaupun saya tidak bercakap dengannya (wanita itu), saya mengenalinya sebagai seorang personaliti TV.

"Saya rasa beliau (isteri) pernah menjadi pengacara rancangan Nona (di TV3)," Balasubramaniam dipetik berkata.

Penyiasat persendrian itu menggemparkan negara pada 3 Julai tahun lalu apabila muncul di ibu pejabat PKR di Petaling Jaya dan mengumumkan akuan bersumpahnya yang mengaitkan Najib, waktu itu timbalan perdana menteri, dengan wanita Mongolia itu yang mati dalam pembunuhan luar biasa.

Keesokannya, 4 Julai tahun lalu, beliau menarik balik kenyataan dalam akuan sumpah awal melalui akuan kedua di sidang media yang diadakan secara tergesa-gesa dan kelam-kabut sebelum menghilangkan diri secara misteri di luar negara.

Dalam bahagian kelima wawancara ini, beliau turut mendakwa ahli perniagaan permaidani yang dikenali Deepak, orang tengah yang terlibat dalam perancangan membawanya ke luar negara, memberitahunya isteri perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor gembira dengan tindakannya membuat penafian pembabitan Najib-Altantuya dan "ingin bersarapan dengannya".

Najib menafikan pembabitannya dengan wanita tersebut, sementara Abdul Razak pula dibebaskan daripada pertuduhan bersubahat membunuhnya.

Read more...

Nizar: Jika Mahkamah Rayuan Tolak Rayuan SPRM Isu Keputusan Hakim Mohd Arif: Kuasa Mutlak SPRM Tercabar

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam memutuskan bahawa SPRM tidak dibenarkan menyoal siasat saksi semalaman, dan hanya boleh dilakukan semasa waktu pejabat dari 8.30 pagi hingga 5 petang.

Mahkamah juga mendapati SPRM telah bertindak secara tidak sah apabila ia menahan anggota exco Kajang, Encik Tan Boon Wah, semalaman di pejabatnya di Bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor.

Keputusan Hakim Mohd Arif ini ini satu keputusan untuk kali pertama sejarah SPRM (dulu BPR) bahawa siasatan mereka selama ini tidak berasaskan undang-undang dan perlembagaan negara. Hakim Mohd Ariff Mohd Yusof, dalam keputusannya, berkata Seksyen 30(3)(a) Akta SPRM 2009 tidak memberi kuasa kepada SPRM untuk menjalankan siasatan ke atas saksi 'siang dan malam'. 'Frasa 'dari hari ke hari' dalam seksyen itu tidak bermakna 24 jam tetapi waktu pejabat biasa,' kata hakim itu dalam keputusannya.

'Oleh itu, saya bersetuju bahawa pemohon dalam kes ini telah ditahan secara tidak sah oleh SPRM,' kata Hakim Mohd Ariff. SPRM telah 'melanggar matlamat perundangan' dan hak asasi seperti termaktub dalam di bawah Artikel 5 Perlembagaan Persekutuan.


Tan Boon Wah, 39 tahun, menyaman ketua SPRM, Datuk Seri Ahmad Said Hamdan, penolong superintendennya, Encik Mohammad Hassan Zulkifli, dan SPRM kerana menahannya dan menyoal siasat secara salah.

Mahkamah mengarahkan SPRM membayar ganti rugi kepada Tan.
Pendaftar mahkamah diarah menetapkan jumlahnya.

Read more...

Nizar News: Kisah Benar Dibalik TIRAI BESI

Ketika dikepung polis, Paul (bukan nama sebenar) membonceng motosikal kawannya. Kawannya bolos, dia dicekup.

Di dalam bakul motosikal, polis menemui bahan yang disahkan kemudiannya sebagai heroin, seberat 500 gm, kesalahan berat yang boleh dihukum mati (gantung).

Apabila dia dibawa ke mahkamah dan mendengar tuduhan yang dibacakan, Paul menganggap tamat sudah riwayat hidupnya. Dia tidak dibenar jamin dan ditahan reman di Penjara Kajang, sementara menunggu perbicaraan.

Paul bernasib baik kerana dia bukan sahaja tidak sepi daripada sokongan moral dan kasih sayang ibu bapanya tetapi usianya ketika ditangkap ialah 17 tahun dan mengikut undang-undang, dia masih ditakrif kanak-kanak.

Apabila Paul dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada Oktober 2009 atas tuduhan yang lebih ringan, dia dibebaskan oleh hakim pada hari yang sama kerana dia sudah meringkuk di dalam penjara untuk tempoh masa yang sama.

Paul ditangkap pada 2004 pada usia 17 tahun dan bebas dari penjara, tiga hari sebelum hari jadinya yang ke-22 tahun.

SEMASA KANAK-KANAK

Ketika kecil, Paul bercita-cita menjadi anggota polis dan dia mempunyai sepasang gari mainan yang sering dibawanya semasa bermain dengan kawan-kawan.

Berbadan tinggi lampai, dia juga unggul dalam bidang sukan semasa di sekolah iaitu dalam acara larian 100 meter dan 200 meter. Paul yakin dia berkebolehan untuk menjadi pelari pecut yang baik jika bakatnya digilap meskipun dia sememangnya malas bersekolah.

Menurut Paul, 'masalah hidupnya' bermula apabila melangkah ke sekolah menengah dan mula merokok.

"Saya bau wangi rokok jadi teringin nak tahu bagaimana rasanya merokok. Saya mula merokok, tak boleh berhenti. Di sekolah tak boleh merokok, jadi saya mula ponteng dan melepak.

"Saya menjadi semakin malas pergi sekolah dan suka melepak, tak fikir masa depan. Saya hanya fikir untuk bersuka-suka sahaja," demikian pengakuan Paul dalam wawancara dengan Bernama baru-baru ini.

KISAH PONTENG DAN LEPAK

Rekod disiplin Paul menjadi lebih teruk apabila dia berada di tingkatan tiga. Masanya banyak disia-siakan dengan kumpulan lepaknya di kafe siber. Dari wang saku sekolah RM10, RM3 dibelanjakan di kafe siber, RM3 untuk makan sementara RM4 untuk membeli rokok.

Dia memberitahu penulis yang dia akan pergi ke sekolah seperti biasa tetapi hanya sampai pukul 3 petang sebelum dia menyelinap keluar dari pintu belakang kelas.

Tempat lepak pertamanya ialah di kedai makan yang berhampiran setelah menukar kemeja sekolah dengan kemeja-T yang sedia ada di dalam beg sekolah. Habis makan, dia dan kawan-kawan lepaknya akan ke kafe siber sehingga tamat waktu sekolah. Setelah menyarung balik kemeja sekolah, dia akan pulang ke rumah.

"Jika baju sekolah bersih sangat, saya buat kotor-kotor sikit, lepas tu balik ke rumah," jelas Paul dengan menambah di rumah, dia memang berkelakuan baik, 'pijak semut pun tak mati.'

Semasa di tingkatan tiga, pihak sekolah akhirnya menghantar surat kepada ibu bapa Paul mengenai rekod buruknya bermula dari tingkatan satu. Paul memberitahu bapanya kemudian, yang dia tidak mahu lagi bersekolah, sebaliknya dia berminat untuk masuk sekolah vokasional.

Paul bercerita, dia pernah lari dari rumah ketika di tingkatan dua dan bekerja menjual kemeja-T di Jalan Petaling.

"Saya tinggalkan rumah selama enam hingga tujuh bulan dan tinggal di rumah kawan. Pagi saya pergi kerja, tengah hari pergi sekolah. Bapa saya ada cari saya tapi saya selalu lari kalau nampak dia sehingga dia datang ke kelas pada satu hari. Dia duduk sebelah saya dan pujuk saya pulang.

"Bapa saya menangis, dia minta maaf pada saya kalau dia ada buat salah. Masa itu saya terasa juga, saya menangis dan hari itu, saya balik ke rumah," kata Paul, dengan menambah meskipun dia sudah berhenti sekolah, dia masih perlu mengambil peperiksaan PMR kerana dia sudah mendaftar dan membayar untuk peperiksaan itu.

"Saya hanya belajar seminggu sebelum peperiksaan. Bukan serius sangat belajar tapi saya suka Bahasa Malaysia, Sains dan Bahasa Inggeris. Bila guru besar serahkan keputusan peperiksaan, saya terperanjat, saya dapat 6C dan 1D. Guru Besar kata saya boleh jadi pandai kalau saya belajar bersungguh-sungguh," katanya.

KENA TANGKAP

Selepas berhenti sekolah, Paul terus dengan tabiat buruknya melepak dan menjadi 'pengikut' seorang yang dikatakannya 'kawan jahat'. Hidup bebasnya berakhir apabila dia ditangkap polis dan direman 14 hari sebelum dikenakan tuduhan mengedar dadah di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Menurut Paul, tanpa segan-silu, dia menangis apabila melihat ibu bapanya di mahkamah. Dia merayu bapanya memohon ikat jamin kerana dia amat takut dihantar ke penjara.

Memandangkan tuduhan dikenakan ke atas Paul tidak boleh diikat jamin, dia terpaksa dibawa ke Penjara Kajang sementara menunggu perbicaraan.

"Saya hanya pernah tengok penjara dalam cerita Tamil. Dalam cerita itu, saya tengok keadaan di dalam penjara teruk. Saya juga tak pernah merasa begitu takut sehinggalah saya ditangkap.

"Polis kata saya akan digantung. Sampai di penjara pun saya diberitahu perkara yang sama. Setiap malam saya menangis. Saya menyesal, mengapa saya tidak dengar cakap ibu bapa saya dan menjadi anak yang baik," kata Paul sambil mengeluh.

HIDUP DALAM PENJARA

Menurut Paul, tempoh setahun setengah pertamanya dalam penjara berlalu tanpa sebarang aktiviti yang membina.

Dia berkongsi sel penjara dengan 16 orang lagi tahanan yang didakwa melakukan pelbagai kesalahan termasuk membunuh, merogol, menjual VCD haram dan mencuri. Tahanan paling muda berusia 15 tahun kerana dituduh mencuri motosikal.

Tahanan-tahanan ini hanya dibenar keluar dari sel untuk dua perkara sahaja iaitu bertemu dengan ahli keluarga setiap Ahad atau untuk rawatan perubatan.

"Pada awalnya, saya merasa putus asa, fikiran saya kosong dan saya banyak menangis kerana saya fikir saya akan mati di penjara. Ada juga tahanan yang baik hati dan beritahu saya jangan menangis, jangan putus asa. Kami banyak berkongsi kisah hidup kami.

"Selain kata-kata nasihat kawan satu sel, saya juga bernasib baik kerana ibu bapa saya sentiasa menyokong saya. Kali pertama mereka melawat saya, mereka menangis dan saya minta maaf. Mereka suruh saya tabahkan hati dan akan tolong saya carikan peguam," kata Paul.

Anak muda ini juga memberitahu dia banyak bersembahyang (Paul seorang Kristian) dan membaca novel yang dibawa oleh ibu bapanya. Novelis kesukaannya ialah Ramlee Awang Murshid yang terkenal dengan novel 'thriller'nya.

MENCARI DIRI

Kehidupan dalam penjara Paul yang membosankan bertukar apabila pihak Penjara mendapatkan bantuan Shelter, sebuah pertubuhan kebajikan berdaftar untuk mengadakan kelas motivasi untuk tahanan reman.

Kelas-kelas itu, yang dimulakan pada 2004 berterusan sehingga 2007. Shelter (www.shelterhome.org) diasaskan pada 1981 untuk membantu antaranya kanak-kanak yang didera, ditinggalkan atau diabai.

Menurut Paul, dia tidak berminat dengan program Shelter pada peringkat permulaan tetapi menyertai kelas tersebut sekadar mengisi masa.

"Apa yang membuka minda saya ialah kami diberitahu kami masih mempunyai peluang. Encik James Nayagam, Pengarah Eksekutif Shelter yang mengasaskan program ini minta kami jangan berputus asa," jelas Paul.

Tambahnya, selepas menghadiri beberapa kelas Shelter, dia mampu melihat ke dalam dirinya, dan merenung kembali segala kesalahan yang telah dilakukannya. Dia juga banyak berfikir tentang keluarganya terutama sekali ibunya yang masih datang melawatnya di penjara meskipun pada satu ketika dia sakit.

"Saya tanamkan tekad saya mesti berubah, saya mesti pilih jalan yang lurus," kata Paul bersungguh-sungguh. Dia juga berlatih bercakap ketika sesi terapi berkumpulan, bukan sahaja untuk berkongsi pengalaman tetapi juga untuk mengatasi perasaan gentar bercakap di hadapan khalayak ramai.

Paul mengambil peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada 2007 semasa masih di dalam penjara tetapi gagal. Namun dia tidak berputus asa dan mengikuti beberapa kelas, iaitu Kemahiran Asas IT dan Asas Grafik Foto.

"Saya merasa begitu bangga apabila menerima sijil Kemahiran Asas IT daripada Menteri Dalam Negeri ketika itu, Datuk Seri Syed Hamid Albar. Kalaulah ibu bapa saya boleh melihat saya pada hari itu, sudah tentu mereka juga merasa bangga," kata Paul.

TANDA NOKTAH

Bercakap mengenai pembebasannya dari penjara, Paul berkata masih segar di ingatannya ketika dia berdiri di hadapan hakim. Dia yang biasanya keras hati menitiskan air mata tatkala hukuman dibacakan iaitu lima tahun penjara dari tarikh ditangkap.

"Tuan Hakim beritahu mereka yang datang ke mahkamah biasanya akan menangis tetapi tak semestinya dia menangis dia akan berubah. Perkara ini kena ingat. Hakim juga suruh saya fikirkan ibu bapa saya, mereka bersusah-payah untuk saya. Hakim juga baca laporan akhlak saya dan nasihatkan saya supaya jaga diri saya.

"Hakim juga ingatkan saya jangan ulangi perbuatan lama saya. Beliau kata memang susah nak dapat duit tapi jika dari mula kita susah, kemudian kita akan senang," kata Paul.

Perkara pertama yang Paul lakukan sebaik sahaja bertemu ibu bapanya selepas dibebaskan ialah memeluk erat kedua orang tuanya, setelah tidak dapat berbuat demikian selama lima tahun.

Dia juga berjanji kepada kedua ibu bapanya dia tidak akan melukakan lagi hati mereka.

Paul 'menemui dirinya' melalui proses yang getir, merengkuk lima tahun di sebalik tabir besi. Dia juga sudah meletakkan noktah kepada kehidupan silamnya dan berikrar dia tidak akan lagi menjejakkan kakinya ke penjara.

Anak muda ini sudah bersedia untuk membuka halaman baru dalam diari kehidupannya. Dengan bantuan Shelter, dia sedang mencari peluang pekerjaan untuk membina kehidupan dan membantu ibu bapanya.

Paul mempunyai sijil dalam automekanik. Dia juga bercita-cita mengikuti pengajian undang-undang suatu hari nanti supaya dia boleh membantu mereka yang mungkin mengalami nasib sepertinya.

Kepada mereka yang masih di bangku sekolah, Paul ingin memberi nasihat ini:" Fikir terlebih dahulu kalau mahu melakukan sesuatu yang tidak baik, fikirkan ibu bapa, pengorbanan mereka dan akibat yang terpaksa ditanggung akibat perbuatan yang tidak baik itu. Ingat pepatah Melayu, 'Tepuk Dada Tanya Selera' dan 'Sepandai-pandai Tupai Melompat, Akhirnya Jatuh Ke Tanah juga!'

Read more...

Thursday, 19 November 2009

Nizar News: KPN kata P.Bala Perlu Dedahkan Dia Kini Melarikan Diri Daripada Siapa

PETALING JAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, penyiasat persendirian P. Balasubramaniam perlu tampil ke hadapan dan berterus terang dia kini sedang melarikan diri daripada siapa dan bercakap benar mengenai episod di sebalik isu kontroversi dirinya.

“Daripada siapa dia kini melarikan diri? Kenapa dia sendiri menyembunyikan diri? Siapa yang sedang memburunya sekarang?” tanya Musa. Malah katanya, Balasubramaniam patut tampil ke hadapan dan bercakap benar.

Sebaliknya kata Musa lagi, Balasubramaniam bertindak seolah-olah dia kini seorang pelarian yang dikehendaki sedangkan namanya tidak ada pun dalam senarai orang yang dikehendaki polis. “Pihak polis hanya mencari dia untuk merekodkan keterangan berkaitan dua deklarasi berkanun yang dia buat tetapi bercanggah di antara satu sama lain,’’ jelas Musa.

Balasubramaniam telah menghilangkan diri sejak 3 Julai tahun lalu selepas mengeluarkan pengakuan bersumpahnya yang menafikan pengakuan bersumpah awal berkaitan kes pembunuhan rakyat Mongolian Altantuya Shaaribuu.

Kata Musa, jika Balasubramaniam benar-benar jujur dan ikhlas, dia patut ke hadapan dan berikan kenyataan kepada pihak polis.

Read more...
Related Posts with Thumbnails

About This Blog

  © Blogger templates The Professional Template by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP